KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan pihaknya buat masa ini menyerahkan siasatan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, 51, kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini, SPRM tidak mempunyai sebarang keperluan untuk menyiasat Roger Ng berkait penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Siasatan diserahkan kepada PDRM dahulu. Buat masa ini, kita tidak ada sebarang keperluan untuk memanggil Roger.
“Siasatan PDRM perlu ditetapkan, mungkin mereka ada sebarang maklumat penting yang membawa kepada penemuan tertentu sehinggalah mereka selesai menjalankan siasatan.
“Selepas siasatan PDRM selesai, kita akan rujuk hasil siasatan mereka sama ada kita perlu menyiasat Roger atau pun tidak,”katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Public Private Partnership (PPP) Fasa 2, di Dorsett Hotel, di sini, hari ini.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai siasatan terhadap peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan, Azam berkata, kertas siasatan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Rakya (TPR).
“Kita kekal seperti siasatan dan kertas siasatan telah diserahkan kepada TPR untuk meneliti mengenai keterangannya diperlukan untuk menjadi saksi dalam kes sedang berlangsung sekarang,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.