TANJUNG MALIM – Seramai 10 kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terdiri daripada pensyarah dan staf pentadbiran terpilih untuk mengikuti Program Pensijilan Profesional UPSI 2023 di Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS).
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, kesemua mereka terpilih untuk menyertai PennGSE Teaching And Learning Summit bermula esok hingga Sabtu ini selain Program PennPBL Institute anjuran Graduate School Of Education universiti tersebut selama tiga minggu mulai 16 Oktober hingga 10 November depan.
“Program ini bertujuan memberi peluang dan pendedahan kepada pensyarah dan staf pentadbiran untuk melibatkan diri secara mendalam dan membuat refleksi berterusan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran, mereka bentuk portfolio dan memperhalusi strategi baharu untuk pengajaran dan pembelajaran.
“Ia juga memberi peluang kepada peserta membangunkan amalan terbaik dalam persekitaran yang menyokong kerjasama sesama rakan sekerja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Peserta yang terlibat mengikuti program itu ialah Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, Prof. Madya Ts. Dr. Muhamad Modi Lakulu, Prof. Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor, Dr. Siti Shuhaida Shukor, Prof. Madya Dr. Ridzwan Che Rus, Dr. Jaffry Zakaria, Dr. Ikhwan Hadi Yaacob, Dr. Hamidah Idris serta dua staf pentadbiran iaitu Mahanum Muhammad dan Nazrul Azlan Musa.
Beliau berkata, hasil program yang dijangka bukan sahaja menyasarkan potensi penganugerahan pengajaran dan pembelajaran (PdP) kepada ahli akademik dan staf pentadbiran tetapi mempunyai nilai tambah dengan sijil penyertaan di PennGSE Teaching & Learning Summit.
“Selain itu pengisian program dalam bidang Project Based Learning akan melahirkan lebih ramai pakar dari pelbagai bidang kepakaran,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Marzita Puteh mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kakitangan yang terpilih dan berharap misi mereka mencapai kejayaan.
Antara kriteria pemilihan peserta, katanya, adalah mereka terdiri dari talent pool (kumpulan bakat) pensyarah yang memegang jawatan pentadbiran, staf pentadbiran dan mereka yang akan menyertai pertandingan PdP di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Program ini dijalankan bagi mencapai indeks prestasi utama (KPI) bagi 2023 iaitu Bilangan Pengiktirafan Yang Berteras Pengajaran dan Pembelajaran Diterima Oleh Pensyarah sekali gus memenuhi sasaran Program Sangkutan Kakitangan Luar Negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE