PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir melibatkan sembilan negeri pada pagi ini.
Ia melibatkan beberapa kawasan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Menurut kenyataan MetMalaysia, hujan juga dilaporkan di satu dua tempat iaitu di kawasan pantai Melaka dan Johor.
“Seterusnya di Sabah pula, hujan dan ribut petir juga diramalkan di satu dua tempat di kawasan Pedalaman, Pantai Barat, Tawau, Wilayah Persekutuan Labuan, Sandakan dan Kudat.
“Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan ketika ini pada tahap sederhana dan tidak sihat,” katanya.
Justeru, orang ramai dinasihatkan menggunakan penutup hidung dan mulut apabila berada di luar rumah untuk mengurangkan risiko jerebu. – KOSMO! ONLINE