fbpx

‘Sebab PLKN kami jadi orang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PROGRAM PLKN berjaya membentuk sahsiah diri pesertanya menjadi cekal mental dan fizikal. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Bekas peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menyambut baik langkah kerajaan untuk melaksanakan semula program ber­kenaan.

Kakitangan sebuah badan berkanun, Azrul Faiz Zul, 33, berkata, pengalamannya me­nyertai PLKN banyak membantunya membentuk disiplin diri ketika usia remaja.

“Saya sertai PLKN masa umur 18 tahun. Ia sebuah program yang bagus kerana mengajar kita untuk hidup berdikari dan juga menjalani kehidupan dengan penuh disiplin.

“Pendapat saya tempoh 45 hari untuk PLKN mencukupi dengan syarat tiada lawatan oleh ibu bapa dan tiada telefon pintar dibenarkan digunakan oleh peserta,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Seorang lagi bekas pelatih PLKN, Nur Ajmal Mohamad Fadzil, 24, berkata, PLKN bukan saja latihan berbentuk fizikal, ia turut melatih golongan belia negara mengenali jati diri.

Dia yang kini bekerja sendiri berkata, banyak perkara yang bertujuan meningkatkan motivasi diri turut diterapkan dalam kalangan pelatih.

“Sepanjang mengikuti latihan PLKN kita diajar tentang jati diri, latihan fizikal dan motivasi diri. PLKN menjadikan diri le­bih matang untuk me­nempuh kehidupan,” katanya.

Kakitangan sebuah syarikat swasta, yang ha­nya mahu dikenali sebagai Roy, 32, pula berkata, dia tidak menyangka PLKN yang telah lama dimansuhkan akan diwujudkan semula.

Menurutnya, program itu sa­ngat bermanfaat dalam membentuk sahsiah golongan muda serta melatih mereka menjadi lasak serta cekal mental dan fizikal.

“Mana ada sesuatu perkara sempurna sepenuhnya, tetapi PLKN banyak manfaat kepada peserta, masyarakat dan negara. Saya harap PLKN kali ini berjalan lancar,” katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan PLKN yang dimansuhkan pada 2018 akan dilaksanakan semula tetapi menggunakan kaedah latihan berbeza berbanding sebe­lumnya.

PLKN digagaskan pada 2002 dengan pembentukan Jabatan Latihan Khidmat Negara sebelum memulakan program itu pada 2004.

Ia kemudian ditangguhkan pada 2015 dan diperkenalkan semula setahun kemudian de­ngan anggaran pelaksanaan penuh pada 2019. Namun, program itu dimansuhkan pada 2018. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI