fbpx

Saya sendiri pernah berbolak-balik pakai tudung – Aprena Manrose

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelakon Aprena Menrose mengakui bukan senang untuk terus istiqamah mengenakan tudung.

PETALING JAYA – Pelakon Aprena Manrose mengakui hatinya pernah berbolak-balik untuk kembali tidak berhijab selepas mengambil keputusan menutup aurat sekitar dua tahun lalu.

Aprena atau nama lengkapnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 30, berkata, lumrah bagi manusia biasa apabila iman mereka diuji sebegitu, lebih-lebih lagi ketika berusaha untuk istiqamah ke arah kebaikan.

“Susah sebenarnya nak istiqamah sebab iman kita naik turun. Tapi tidaklah sesusah mana. Sejujurnya, saya sendiri pernah ada rasa hati berbolak-balik.

“Tapi dengan doa yang membuatkan saya terus kuat. Saya nak cakap lebih-lebih pun tak boleh sebab isu menutup aurat ini adalah perkara sensitif,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ujar anak kepada bekas penyanyi dangdut, Iwan Syahman itu lagi, individu sekeliling juga menjadi faktor yang mempengaruhi tahap keimanan seseorang untuk kekal istiqamah.

“Faktor sekeliling, dengan siapa kita berkawan juga boleh mempengaruhi kita. Macam mana, kalau waktu saya rajin untuk pergi ke kelas agama, dalam seminggu itu memang saya tertutup betul (menutup aurat dengan sempurna).

“Tapi bila dan lama tak pergi, kita jadi lupa. Jadi salah satu sebab adalah keadaan sekeliling kita. Saya tidak cakap bahawa saya betul-betul sudah cukup jadi muslimah sejati. Tapi sehingga sekarang saya masih lagi belajar,” jelasnya.

Aprena yang ditemui di majlis memperkenalkan pelakon Wanna Ali sebagai duta produk Millefelur di Hotel Royale Chulan, Damansara semalam turut berpendapat doa daripada ahli keluarga terutama suaminya, sebagai ‘perisai’ untuk dirinya kekal istikamah untuk menutup aurat.

“Selain tuntutan agama, salah satu sebab saya masih kuat (istikamah) adalah kerana suami, Mohd. Afiq Hazman. Insya-Allah dengan berkat doa daripada keluarga, bapa dan juga suamu, itu yang membuatkan saya kuat.

“Bagaimanapun, saya tidak tahu ke depannya nanti bagaimana. Kalau satu hari nanti nampak saya tidak lagi berhijab, maka saya tidak lagi bertudung.

“Tapi kalau saya masih kekal begini (berhijab), alhamdulillah, maknanya iman saya masih lagi kuat,” jelasnya.

Pada masa sama, pelakon yang pernah membintangi drama Tiada Arah Jodoh Kita itu bersyukur apabila masih lagi menerima tawaran berlakon, walaupun tidak ‘sekencang’ seperti sebelum dia mengenakan hijab.

Kata Aprena, dia tidak menganggap berhijab menjadi punca rezekinya dalam bidang lakonan berkurangan, cuma dia berpendapat wataknya mungkin agak terbatas selepas menutup aurat.

“Dalam dunia lakonan, sebelum saya berhijab, watak yang ditawarkan kepada saya lebih banyak dan luas. Tapi bila dan mula menutup aurat, produksi mungkin hormat dengan penampilan kita.

“Jadi tawaran berlakon itu menjadi kurang. Tapi itu bukanlah masalahnya. Rezeki saya tetap ada. Lagi pun saya tidak terfikir pun memakai hijab menjadi punca rezeki saya disekat,” katanya.

Terdahulu, Aprena yang juga adik kepada pelakon Oktovia Manrose itu mula berjinak-jinak untuk berhijab sejak Ramadan 2021, sebelum mengambil keputusan untuk berhijab sepenuhnya tidak lama kemudian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI