PUTRAJAYA – Perdana Menteri Thailand yang baharu, Srettha Thavisin dilaporkan akan bertemu secara empat mata bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi lawatan beliau ke Malaysia hari ini.
Lawatan selama dua hari itu merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Thailand pada 5 September 2023.
Menurut Wisma Putra, semasa lawatan tersebut, Srettha dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.
“Pada hari sama, Srettha juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Anwar di mana kedua-dua pemimpin dijangka akan menilai semula kemajuan hubungan dua.
“Ia khususnya melibatkan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan keselamatan sempadan serta meneroka bidang-bidang kerjasama baharu seperti keselamatan siber, ekonomi digital serta ekonomi hijau,” katanya di sini tadi.
Wisma Putra berkata, kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
“Kementerian Luar Negeri yakin lawatan itu akan memperkukuhkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin di antara kedua buah negara yang juga merupakan jiran rapat dan rakan kongsi dalam ASEAN.
“Pada tahun 2022, Thailand merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia dan ketiga terbesar dalam ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM122.03 bilion iaitu peningkatan sebanyak 17.9 peratus berbanding RM97.55 bilionpada tahun 2021,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE