PETALING JAYA – Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) berjaya menewaskan skuad Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Future dengan keputusan 3-1 pada aksi kedua peringkat kumpulan kategori bawah 14 (B-14) tahun, Kejohanan Bola Sepak Piala Supermokh 2023 hari ini.
Sebagai rekod, SSBJ yang juga Akademi Zon Tengah, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) tewas 2-4 pada aksi pertama bertemu wakil Thailand, Buriram United pada aksi di AMD, Gambang semalm.
Pengendali SSBJ, Nik Juhaisham Tarmizi berkata, barisan pemain perlu menang pada perlawanan ketiga menentang pasukan Spartak Trnava dari Slovakia esok untuk mengesahkan kemaraan ke pentas separuh akhir.
“Kemenangan pertama dalam kumpulan walaupun kalah dengan Buriram United semalam tetapi pemain bangkit membuktikannya dengan melakar kemenangan.
“Kami memperbaiki corak permainan pada hari ini dan sudah pasti kita harap dapat lolos ke separuh akhir dengan syarat menewaskan kelab Slovakia nanti.
“Apa yang pasti, ia bukan tugas yang mudah dan pemain kena lebih menguasai bahagian tengah, saya lihat aksi hari ini pemain tengah lebih banyak melihat lawan mengawal bola dan mengatur serangan.
“Kemenangan hari ini memastikan pasukan meraih tiga mata dan mata penuh diraih esok akan mengesahkan kemaraan pasukan ke peringkat separuh akhir,” katanya selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, pengendali AMD Future, Mustaffa kamal Abdul Wahab mengakui pasukannya perlu berkerja keras pada aksi terakhir berdepan Buriram United untuk layak ke pusingan seterusnya.
“Bagi saya perlawanan kedua hari ini lebih kepada pendedahan dan beri ruang kepada pemain muda dan dengan keputusan ini kami perlu bergantung kepada keputusan pasukan lain untuk perlawanan terakhir.
“Memang kita akui keputusan ini menyukarkan sedikit laluan, tetapi saya yakin pemain akan bekerja keras esok untuk meraih kemenangan,” katanya.
Bagi kategori bawah 12 (B-12) tahun pula, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah membenam cabaran pasukan dari Filipina, Apuesto Bueno FC dengan kemenangan 12-0 pada aksi dalam Kumpulan B. – KOSMO! ONLINE