fbpx

K2

Peranan kampus mencorak diri mahasiswa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peranan mahasiswa dalam melaksanakan prinsip Rukun Negara adalah penting untuk pembangunan negara yang stabil dan sejahtera.

BARU-BARU ini, mahasiswa mula memasuki pelbagai kampus meliputi universiti awam atau institut pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik, kolej universiti, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), bahkan ke luar negara.

Tidak kurang juga yang masuk mengikuti program teknikal atau latihan kemahiran seperti kursus kemahiran sepenuh masa di Institut Kemahiran Belia Negara (IKTBN / IKBN), Kursus Bina Insan dan Kursus Kemahiran di institusi swasta (program tajaan pelatih) bermula minggu ini.

Berasaskan kelayakan dan keputusan cemerlang, mahasiswa berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang yang diminati.

Dalam dunia yang kian mencabar, perkembangan teknologi dan gangguan digital, bebanan mahasiswa, masalah kesihatan mental, kos pendidikan tinggi, keseimbangan kerja-pendidikan, kekurangan masa, tekanan sosial dan media sosial selain perubahan cuaca dan alam sekitar serta ancaman Covid-19, penghayatan dan kefahaman mahasiswa terhadap pembinaan negara sejahtera adalah menerusi amalan terbaik Rukun Negara.

Apakah mahasiwa berupaya menerapkan amalan Rukun Negara dalam kehidupan harian serta memastikan keharmonian antara etnik kekal stabil tanpa isu sentimen dan pelanggaran undang-undang serta kontrak sosial yang selama ini dipegang teguh dan dijaga rapi?

Justeru, kampus berperanan dalam membina dan melahirkan mahasiwa yang cemerlang akademik, kokurikulum, sahsiah serta berupaya membentuk elemen keharmonian etnik sejak dari alam universiti lagi.

Keharmonian merupakan nilai yang menjadi asas pembentukan identiti Malaysia sebagai negara majmuk. Bagi memastikan keharmonian ini berterusan, kampus di seluruh negara memainkan peranan penting sebagai medan melaksanakan Rukun Negara.

Di sinilah mahasiswa perlu memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada merealisasikan masyarakat yang bersatu padu, adil dan harmoni.

Rukun Negara yang mengandungi lima prinsip utama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang, Kesopanan dan

Kesusilaan, bukan sekadar lambang keutuhan negara yang berprinsip, bahkan juga asas utama membentuk nilai-nilai masyarakat Malaysia.

Mahasiswa sebagai generasi muda yang bakal mencorakkan masa depan negara perlu ada tanggungjawab yang besar untuk memahami, menghayati dan mengamalkan nilai-nilai tersebut.

Antara cara yang paling penting untuk melaksanakan Rukun Negara ialah melalui pendidikan tinggi.

Di sini, institusi pengajian tinggi memainkan peranan utama dalam memastikan mahasiswa memahami dan mengamalkan prinsip Rukun Negara dalam kehidupan harian.

Ini melibatkan pembelajaran formal dan tidak formal yang membentuk nilai, sikap dan cara berfikir mahasiswa.

Mahasiswa juga sewajarnya mempunyai tanggungjawab untuk menjadi ejen perubahan dalam mewujudkan keharmonian di kampus.

Mahasiswa boleh mengambil inisiatif menganjurkan aktiviti yang mempromosikan percampuran mahasiswa dari pelbagai latar belakang, etnik dan agama. Ini termasuk mengadakan kuliah, ceramah, seminar, sukan dan program kesedaran yang menekankan isu perpaduan dan keharmonian etnik.

Mahasiswa perlu peka dengan isu sosial semasa yang boleh menggugat keharmonian masyarakat Malaysia. – GAMBAR HIASAN

Selain itu, mahasiswa juga perlu berperanan dalam menentang diskriminasi, ketidakadilan dan isu-isu yang boleh merosakkan keharmonian di kampus.

Mahasiswa boleh menjadi suara untuk golongan kurang bernasib baik dan memperjuangkan keadilan sosial. Ini adalah cara untuk mengamalkan nilai dan perinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian.

Dalam situasi semasa di Malaysia, peranan kampus sebagai medan melaksanakan Rukun Negara dan peranan mahasiswa dalam mewujudkan keharmonian sangat relevan dan penting.
Malaysia terkenal dengan kepelbagaian etnik dan budayanya.

Dalam situasi ini, mahasiswa memainkan peranan utama dalam melaksanakan nilai-nilai Rukun Negara bagi mengukuhkan keharmonian antara pelbagai etnik, agama dan budaya.

Mereka perlu memastikan kampus adalah tempat di mana perbezaan ini dihargai dan dihayati. Mahasiswa juga perlu peka dengan isu sosial semasa yang boleh menggugat keharmonian masyarakat Malaysia. Contohnya, isu ketidakadilan, diskriminasi dan ekstremisme.

Mahasiswa perlu bersuara dan mengambil tindakan untuk membendung isu ini di kampus.

Sememangnya institusi pengajian tinggi seharusnya memainkan peranan penting dalam mewujudkan kesedaran berkenaan Rukun Negara.

Ini boleh dilakukan melalui penyepaduan nilai-nilai ini dalam kurikulum dan juga melalui program kesedaran yang mengajar mahasiswa kepentingan perpaduan, keadilan dan beradab.

Daripada ejen perubahan di kampus itu, mahasiswa juga perlu menghargai peranan tersebut dengan membawa perubahan dalam masyarakat.

Mereka boleh membawa nilai-nilai Rukun Negara dari kampus kepada masyarakat dengan menjalankan projek komuniti dan mengambil bahagian dalam usaha penyembuhan sosial.

Institusi pengajian tinggi mesti menumpukan pembinaan sahsiah dan nilai-nilai Rukun Negara dalam pendidikan.

Ini bukan sahaja untuk memindahkan pengetahuan, tetapi juga untuk membentuk individu yang mempunyai integriti, tanggungjawab dan mengambil berat keharmonian sosial.

Institusi pengajian tinggi dari semua IPTA / IPTS mesti bekerjasama untuk mempromosikan Rukun Negara dan melahirkan mahasiswa yang memahami dan mengamalkannya.

Ini juga boleh dilakukan melalui pertukaran mahasiswa, program bersama atau peningkatan kerjasama antara institusi pengajian tinggi.

Dalam dunia yang semakin digital, mahasiswa juga perlu berwaspada terhadap penyebaran maklumat palsu, kebencian dalam talian dan polarisasi. Mereka boleh memainkan peranan mempromosi komunikasi beretika dan membantu membendung isu ini.

Peranan mahasiswa dalam melaksanakan nilai dan prinsip Rukun Negara dan mewujudkan keharmonian adalah penting untuk pembangunan negara yang stabil dan sejahtera.

Mahasiswa merupakan ejen perubahan yang mempunyai potensi besar dalam membentuk masa depan Malaysia yang lebih baik.

Dengan kesedaran, penghayatan dan tindakan yang betul, mahasiswa dapat membantu membentuk masyarakat yang lebih bersatu padu, adil dan harmoni, selaras dengan prinsip Rukun Negara yang dianuti oleh negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI