SEBERANG PERAI – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang memaklumkan situasi jerebu yang melanda dalam tempoh enam jam, baru-baru ini bukan disebabkan aktiviti pembakaran terbuka.
Pengarahnya, Norazizi Adinan berkata, ini sebaliknya berpunca daripada pergerakan angin yang membawa asap dari sumber luar.
Menurutnya, keadaan ini sekali gus menyebabkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di dua Stesen Pengawasan Kualiti Udara di Seberang Perai dan Seberang Jaya merekodkan bacaan sederhana iaitu 51 hingga 100.
“Kebiasaannya, bacaan IPU di kawasan terbabit memang agak tinggi antara 50 sehingga 60 kerana ia membabitkan kawasan perindustrian dan laluan kenderaan.
“Kawasan ini agak padat dengan pencemaran udara, namun ia masih berada di tahap sederhana berbanding kawasan lain di negeri ini.
“Sekiranya ada faktor luaran yang menambah kepada situasi jerebu ini, maka IPU akan cepat sampai ke bacaan 100, tetapi kita akan berusaha memastikan keadaan terkawal,” katanya selepas perasmian Karnival Larangan Pembakaran Terbuka JAS Pulau Pinang di Kompleks Sukan MBSP, Bertam di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, setakat ini tiada titik panas pembakaran terbuka direkodkan kecuali satu amaran palsu (false alarm) yang dikesan melalui satelit membabitkan sebuah kilang di kawasan perindustrian Bukit Minyak.
“Selain itu, kita terima sebanyak 774 aduan berkaitan pencemaran dan 376 daripadanya membabitkan pembakaran terbuka.
“Walau bagaimanapun, pembakaran terbuka yang diadukan sebahagian besarnya berpunca daripada kejiranan sendiri dan bukan disebabkan oleh pertanian.
“Justeru, kita akan terus menasihati masyarakat setempat supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh menyumbang kepada bacaan IPU tidak sihat,” katanya. – KOSMO! ONLINE