fbpx

Pekerja berbilang latar belakang pemangkin prestasi syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sivakumar ketika berucap pada Majlis Anugerah dan Malam Gala Forum Pekerjaan Awam Antarabangsa 2023 (IPEF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini. FOTO oleh FARIZ RUSADIO/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Syarikat yang tidak menindas pekerja dan meraikan kepelbagaian dalam kalangan masyarakat didapati mempunyai prestasi yang memberangsangkan dan lebih berdaya saing.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, syarikat yang menerapkan dasar sedemikian lebih utuh, inovatif dan berupaya merintis perubahan selari dengan peredaran masa.

Tambahnya, syarikat yang mempunyai pekerja yang terdiri daripada pelbagai latar belakang juga lebih menyerlah dan mampu mengharung pelbagai cabaran.

“Dengan menyokong dasar kepelbagaian pekerja, kita bukan sekadar meraikan identiti Malaysia, tetapi juga memperkukuhkan syarikat dan ekonomi negara,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Gala International Public Employment Forum 2023 (IPEF 2023), di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Turut berlangsung dalam majlis sama adalah majlis penyampaian anugerah MYFutureJobs yang julung kali diadakan. Sebanyak lapan kategori anugerah dan 24 pemenang menerima penghargaan tersebut.

Menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), anugerah tersebut diadakan bagi menghargai sumbangan majikan, penyedia latihan dan pusat rehabilitasi.

“Kali ini Anugerah Emas MYFutureJobs bagi kategori besar dan perusahaan kecil sederhana (PKS) diberikan kepada organisasi yang menunjukkan komitmen terhadap pembangunan dan kesejahteraan pekerja terutamanya dalam aspek keselamatan sosial.

“Selain itu, Anugerah Emas MyFutureJobs bagi kategori Kerjaya Madani diberikan kepada organisasi yang menunjukkan amalan teladan dan kemajuan kerjaya luar biasa mengikut prinsip-prinsip MADANI,” katanya.

Tambah Perkeso, pengiktirafan tersebut merupakan bukti komitmen majikan dalam membantu golongan rentan seperti bekas banduan, Orang Asli dan pencari kerja berusia 40 ke atas.

Anugerah Emas MYFutureJobs bagi kategori PKS dimenangi oleh CR SEA (Malaysia) Sdn. Bhd. (emas), E-Idaman Sdn. Bhd. (Perak) dan Alpha Industries Sdn. Bhd (gangsa).

Anugerah Besar MYFutureJobs pula dimenangi oleh Medivest Sdn. Bhd. (emas), Chickenland Malaysia Sdn. Bhd. (perak) dan 99 Speedmart Sdn. Bhd. (gangsa). – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI