IPOH – Usaha meningkatkan kefahaman mengenai Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan usaha penting untuk memastikan keharmonian ummah dapat dijamin.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, usaha juga perlu dilakukan untuk melengkapkan ummah dengan fahaman yang jelas agar lebih bersedia menghadapi ancaman kemunculan ajaran sesat dan aliran pemikiran janggal yang mengundang kebinasaan ke atas diri, keluarga, masyarakat mahupun negara.
“Hari ini ancaman ke atas pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dilakukan secara terang oleh musuh-musuh Islam dan secara terselindung melalui gerakan-gerakan batiniah tertentu.
“Juga tindak tanduk individu yang mempamerkan diri mereka sebagai ulama, ustaz, tuan guru dan seumpamanya, namun pada hakikatnya, mereka membawa ajaran yang menyeleweng dan tafsiran yang menyimpang daripada landasan Islam sebenar.
“Oleh itu ummah wajib berganding bahu memastikan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dilindungi, dipelihara, difahami dan dihayati,” titah baginda pada Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah menjadi pegangan utama umat Islam di seluruh dunia.
Titah baginda, di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996, membuat ketetapan bahawa umat Islam negara ini hendaklah mengikut ajaran Islam berpaksikan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Baginda bertitah, ini daripada segi akidah, syariah dan akhlak, mentafsirkan hukum-hukum Islam berdasarkan sumber perundangan utama iaitu al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas dan tidak dengan mudah mengkufurkan sesama Muslim. – KOSMO! ONLINE