BAGAN DATUK – Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki bersama dua lelaki lain karam di Sungai Perak dekat Kampung Pasang Api, Hutan Melintang di sini hari ini.
Mangsa yang hilang dikenali sebagai Amir Hamzah Shaari, 53.
Difahamkan, mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) itu turun ke sungai bersama adik dan anak lelakinya berusia 40 dan 28 tahun.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 1.12 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang diatur gerak ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Setibanya jentera di lokasi, didapati sebuah bot telah karam dan terdapat tiga nelayan terlibat. Dua mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam manakala seorang lagi masih hilang.
“Operasi mencari mangsa diteruskan pagi ini dengan menggunakan bot bersama unit anjing pengesan (K9) bomba bermula di kawasan Kampung Pasang Api menghala ke Beting Beras Basah,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE