fbpx

Mekar mudahkan penduduk Pulau Aman ganti Mykad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Samsul (kanan) berbual dengan Yusoff (dua dari kiri) dan cucunya pada Program Mekar dan Hari Pendaftaran Negara (HPN) di Dewan Pulau Aman, hari ini. - Foto oleh IQBAL HAMDAN / KOSMO!

SEBERANG PERAI – Tiga sekeluarga antara 19 penduduk di Pulau Aman yang memperbaharui kad pengenalan menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) yang dilaksanakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang di pulau tersebut.

Yusoff Said,79, berkata, beliau dibawa ke dewan komuniti pulau terbabit oleh dua cucunya, Muhammad Ammar Hazmi,22 dan Mohamad Ramadhanni Abdullah,12, untuk menguruskan permohonan pembaharuan dokumen pengenalan diri masing-masing.

Menurutnya, dia sendiri tidak berupaya untuk ke pejabat JPN di Jawi, Nibong Tebal ekoran masalah kesihatan yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu.

“Saya sudah tidak larat untuk ke darat (seberang) sebab kini berkerusi roda, susah hendak naik bot, kemudian perlu menaiki kereta pula untuk ke sana.

“Kami bersyukur kerana pihak JPN membantu memudahkan penduduk setempat untuk perbaharui kad pengenalan dan diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Aman, Zulkplee Yusoff berkata, rata-rata penduduk menyambut baik perkhidmatan yang disediakan JPN.

“Kalau nak diikutkan, penduduk terpaksa menghabiskan masa seharian semata-mata untuk memperbaharui kad pengenalan, malah perlu menempah perkhidmatan e-hailing sebaik tiba di jeti untuk ke pejabat JPN.

“Usaha JPN ini ternyata memudahkan namun diharapkan program seumpama ini dapat diadakan lagi memandangkan terdapat segelintir nelayan yang tidak sempat ke sini kerana belum pulang dari laut,” katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pegawai Pendaftaran JPNPP, Mohd. Samsul Ariffin Ahmad Zawawi berkata, secara keseluruhannya pihaknya menerima 17 permohonan gantian kad pengenalan dan dua permohonan kad pengenalan kali pertama bagi individu berusia 12 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI