KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merupakan agensi yang julung kalinya akan melantik wakil dari Sabah dan Sarawak bagi mendapat persetujuan bagi pelantikan Ahli Lembaga Pengarahnya.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usul itu akan dilaksanakan menerusi Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 RUU LHDN (Pindaan) 2023) yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen ke-15, hari ini.
Ujarnya, usul ini bagi menghormati tiga wilayah iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTP-MA63).
“Ini adalah suatu yang signifikan kita lakukan dalam LHDN. Selama ini ada sembilan ahli lembaga, dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Pembendaharaan, tetapi selepas usul ini diluluskan, akan ada sembilan campur dua, jadi jumlahnya 11.
“Dalam usul yang akan dibentangkan petang ini, sebarang pelantikan dan pemberhentian lantikan Ahli Lembaga Pengarah LHDN, kita akan berunding dengan ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak selepas ini.
“Ini adalah kali pertama sebuah agensi yang besar melakukan pindaan untuk memastikan ada wakil dari Sabah Sarawak. Adakah akan berlaku kepada badan berkanun dan agensi yang lain? Tunggu dan lihat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Prinsip Tadbir Urus Korporat G20/Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) Peringkat Asia di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pelantikan dua wakil dari Sabah dan Sarawak itu adalah orang yang menepati kriteria dan mempunyai ilmu pengetahuan dalam isu ekonomi, percukaian dan undang-undang.
“Orang tersebut mestilah mereka yang mengetahui tentang isu ekonomi, percukaian dan undang-undang. Ini adalah tiga perkara utama yang dititikberatkan selain daripada tentunya yang dipersetujui setelah rundingan dibuat,” ujarnya
Terdahulu, RUU LHDN Pindaan 2023 bacaan kali kedua yang sepatutnya diluluskan Dewan Rakyat pada 15 Jun lalu ditangguh ke persidangan akan datang.
Penangguhan itu dibuat selepas ahli-ahli Parlimen yang berbahas mencadang supaya RUU itu dirujuk dahulu ke Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi.
Hal itu bertujuan untuk meminda beberapa peruntukan, bagi mengelakkan bias dalam pemilihan dan pengguguran keanggotaan ahli lembaga pengarah LHDN mewakili Sabah dan Sarawak yang mana seseorang menteri berkuasa penuh ke atasnya. – KOSMO! ONLINE