fbpx

Konflik Palestin-Israel: Lebih 260,000 penduduk Gaza hilang tempat tinggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki berdiri dekat bangunan yang musnah akibat pengeboman tentera Israel di Bandar Gaza hari ini. - Foto AFP

GENEVA, Switzerland – Lebih 260,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing di Semenanjung Gaza ketika tentera Israel terus melakukan pengeboman dari udara, darat dan laut di wilayah Palestin itu, demikian menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pertempuran sengit antara rejim Zionis dengan para pejuang Palestin telah menyebabkan beribu-ribu orang terbunuh di kedua-dua belah pihak sejak Hamas melancarkan serangan mengejut pada Sabtu lalu.

“Lebih 263,934 orang di Gaza dipercayai meninggalkan rumah masing-masing,” kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) dalam kemas kininya semalam sambil memberi amaran bahawa jumlah itu dijangka terus meningkat.

Lebih 1,000 orang maut di Israel dalam serangan terburuk dalam sejarah 75 tahun, manakala pegawai-pegawai Gaza melaporkan seramai 900 penduduk terbunuh sejak serangan udara bermula Sabtu lalu.

Tindakan pengeboman tentera Israel telah memusnahkan lebih 1,000 unit rumah manakala 560 lagi rosak teruk sehingga tidak dapat didiami, kata OCHA yang memetik kenyataan pihak berkuasa Palestin.

Dalam kalangan mereka yang kehilangan tempat tinggal, hampir 175,500 orang terpaksa mencari perlindungan di 88 buah sekolah kendalian agensi PBB yang menyokong pelarian Palestin, kata Agensi Bantuan dan Kerja PBB (UNRWA).

Sementara itu, lebih 14,500 menyelamatkan diri ke 12 buah sekolah awam, manakala hampir 74,000 lagi dianggarkan tinggal bersama saudara-mara dan jiran-jiran atau mencari perlindungan di kemudahan lain.

“Jumlah penduduk yang dipindahkan di Gaza itu merupakan angka tertinggi yang pernah dicatatkan sejak pertempuran selama 50 hari pada 2014,” kata UNRWA. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI