fbpx

IPEF 2023 anjuran Perkeso catat 1,000 penyertaan seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada peserta yang hadir pada Majlis Perasmian Forum Pekerjaan Awam Antarabangsa (IPEF 2023) hari ini. - Foto oleh MOHD FARIZWAN HASBULLAH / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Forum Antarabangsa Pekerjaan Nasional (IPEF) 2023, di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), hari ini, berjaya mencatatkan 1,000 penyertaan dari seluruh negara.

Menterinya, V. Sivakumar berkata, program anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang berlangsung bermula hari ini sehingga 13 Oktober 2023 itu, merupakan komitmen berterusan Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk meningkatkan produktiviti negara.

“Forum antarabangsa ini berperanan dalam membangunkan modal insan yang cekap, produktif, responsif dan berdaya tahan dalam pasaran buruh.

“Pelbagai inisiatif dan fokus program ini akan beri pulangan kepada pemain-pemain industri termasuk pekerja dan majikan untuk kekal relevan dalam dan luar negara berlandaskan trend terkini.

“Kita terapkan dasar teras Madani untuk pastikan pembangunan dari segi sosial dan ekonomi mencapai matlamat,” katanya selepas merasmikan forum berkenaan di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), hari ini.

IPEF 2023 menjadi platform global untuk perbincangan mengenai penyelesaian yang inovatif dan amalan terbaik dengan penampilan 28 ahli panel antarabangsa.

Antara peserta yang mengambil bahagian adalah dari Belgium, Indonesia, Ireland, Republik Korea, Turki dan Malaysia.

Selain itu, IPEF 2023 turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Statistical, Economic and Social Research and Training for Islamic Countries (SESRIC) dan Perkeso.

V. Sivakumar berkata, SESRIC memainkan peranan penting dalam meningkatkan perlindungan sosial dan rangkuman kewangan dalam kalangan negara Islam di seluruh dunia.

“Perkongsian strategik kedua-dua pihak telah bermula pada 2022 dengan memberi keutamaan dalam bidang statistik, penyelidikan dan latihan.

“Kerjasama ini mengesahkan komitmen kedua-dua pihak dalam meningkatkan perlindungan sosial di negara Islam,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subhan Kamal mengucapkan terima kasih kepada penceramah tempatan dan antarabangsa atas sokongan, penyertaan dan kesediaan mereka untuk berkongsi pengetahuan melalui IPEF 2023.

“Juga kepada KSM atas sokongan yang tidak berkesudahan dan penaja utama yang menjadikan acara ini sebagai realiti Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia.

“Ini adalah harapan besar saya bahawa pandangan yang berharga, yang diperoleh daripada forum ini akan menjadi ubat mutlak untuk kita mengharungi tenaga kerja semasa dan masa hadapan pergolakan pasaran,” ujarnya ketika berucap. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI