fbpx

Ghairah bina spekulasi, seolah-olah Sanusi ‘sorok’ beras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi

ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mempersoalkan tujuan pihak tertentu termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggembar-gemburkan siasatan kontrak pembekalan beras bernilai RM100 juta yang berlaku tujuh tahun lalu.

Katanya, berita itu disebarkan seolah-olah kejadian tersebut berlaku semalam di bawah pentadbirannya.

Beliau dalam pada itu turut mempersoalkan bagaimana peristiwa yang berlaku pada 2016, boleh membawa kepada isu kekurangan beras tempatan yang berlaku pada hari ini.

“Laporan berkenaan hal itu dilontarkan ke tengah-tengah masyarakat tanpa penjelasan sewajarnya, tergantung seolah-olah peristiwa itu berlaku semalam walhal ia berlaku pada 2016.

“Saya tak tahu atas kehendak siapa laporan itu dibuat tetapi ghairah sekali dibina spekulasi seolah-olah punca ketiadaan beras tempatan ketika ini disebabkan oleh Sanusi sorok beras,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Menurutnya, perkara paling asas perlu difahami adalah apabila Malaysia dibentuk, terdapat tiga bidang kuasa kerajaan negeri iaitu berkaitan tanah termasuk hutan, agama dan sumber air manakala lain-lain perkara di bawah kerajaan Persekutuan.

“Tetapi ada kecenderungan akhir-akhir ini apabila berlaku kegagalan di peringkat agensi persekutuan atau kementerian, mereka seolah-olah cari kambing hitam untuk meletak kesalahan itu kepada kerajaan negeri.

“Contohnya berkaitan hal kawal selia beras, apabila tak cukup beras tempatan dan berlaku kenaikan harga import, mereka cari kambing hitam untuk disalahkan,” ujarnya.

Beliau berkata, kawal selia padi dan beras adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Oleh kerana kebanyakan padi ditanam di Kedah, maka mata orang ramai tertumpu di negeri ini dan disebabkan itu, diberatkan kesalahan seolah-olah Kedah gagal dalam kawal selia padi dan beras sedangkan perkara itu di bawah KPKM,” katanya.

Akhbar baru-baru ini melaporkan mengenai tindakan SPRM membongkar kegiatan penipuan sebuah syarikat yang mendapat kontrak pembekalan beras daripada sebuah syarikat pertanian milik kerajaan negeri, bagi pembekalan beras di Semenanjung Malaysia. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI