REMBAU – Kehidupan seorang wanita semakin terhimpit apabila bukan sahaja perlu menyara dua anak orang kelainan upaya (OKU), malah sebahagian besar gaji bulanannya terpaksa dipotong untuk membayar komitmen bulanannya.
Guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Noorakmar Mahmood, 42, berkata, dia terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga dua anaknya, Muhammad Arsyad Riffat Mohd. Ariff, 8, dan Adam Yusuf, 3, selain perlu membayar lebihan gaji yang diterimanya.
Katanya, 40 peratus daripada gaji RM4,000 yang diterima dipotong untuk bayaran komitmen selepas hidup mereka teruji.
“Perniagaan yang suami usahakan suami terkandas kerana perlu menjaga anak, manakala saya pula terpaksa ambil cuti tanpa gaji bila mereka masuk wad.
“Saya perlu bayar RM17,929 untuk cuti tanpa gaji dari 2018 hingga tahun lalu. Gaji dipotong RM298 sejak bulan lalu dan perlu dibayar selama lima tahun,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu di sini baru-baru ini.
Menurut Noorakmar, bertambah runsing apabila jumlah perbelanjaan dijangka bertambah apabila dia terpaksa menemani salah seorang anaknya di hospital.
Tambahnya, dia perlu ambil cuti tanpa gaji lagi apabila anaknya kini dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban pada 4 hingga 6 Oktober lalu.
“Keadaan itu menyebabkan duit gaji saya habis semuanya dan simpanan juga tiada. Masalah timbul apabila salah seorang anak masuk hospital dan kami kena bahagi tugas,” katanya.
Ujar Noorakmar, dia ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM500 dan baitulmal setiap bulan tetapi tidak mencukupi.
“Ini menyebabkan saya tiada duit. Saya terpaksa tebalkan muka memohon bantuan daripada pelbagai pihak,” katanya.
Menurut Noorakmar, dia bernasib baik kerana adik beradiknya ada yang membantu sekadar terdaya membeli barang dapur.
“Mereka juga berkongsi baiki rumah pusaka dan menyediakan pendingin hawa untuk keselesaan anak-anak OKU saya yang ada kalanya saluran di bahagian perutnya bernanah disebabkan cuaca panas,” katanya.
Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun CIMB 7053-7834-57 atas nama Noorakmar Mahmood. -KOSMO! ONLINE