PETALING JAYA – Kecoh dalam media sosial mengenai sensasi artis buka tudung, pelakon Fatin Afeefa menitipkan pesanan buat netizen agar tidak bercakap buruk atau mempertikaikan keputusan mereka yang berbuat demikian.
Kata pemilik nama penuh Fatin Nur Afifah Shamsudin itu, setiap individu tiada hak untuk menilai baik buruk seseorang insan, sebaliknya hanya perlu mendoakan yang baik-baik.
“Jangan bercerita buruk tentang orang, sebab kita pun bukan baik sangat. Orang itu nak pakai ke nak buka tudung ke biarkan dia. Sebab nanti dekat akhirat, Allah tak tanya kalian kenapa dia tak pakai tudung.
“Allah takkan tanya orang yang tak ada kena mengena dengan awak Jadi jangan risau, pelakon itu nak buka tudung ke, dia buka baju ke, biarlah dia.
“Doa yang baik-baik, tak payah cakap buruk. Nasihat boleh tapi jangan sampai menghina. Boleh jadi dia lagi baik daripada kalian bila berubah di masa hadapan nanti,” katanya menerusi siaran langsung dalam TikTok.
Tambah aktres berusia 29 tahun itu, pemakaian tudung bukanlah satu kewajipan paling utama, sebaliknya adalah menutup aurat dengan sempurna.
Katanya, terdapat segelintir wanita yang memakai tudung namun pemakaiannya tidak melambangkan muslimah sejati.
“Pakai tudung tidak wajib tetapi tutup aurat itu wajib. Tak kisah la nak pakai apa pun janji menutup aurat, tak nak pakai tudung, nak pakai baldi nampak muka pun boleh.
“Kena banyak belajar balik. Saya tidak cakap diri saya baik tetapi kesal bila orang cakap pakai tudung wajib padahal balut badan macam nangka, pakai baju nampak bontot.
“Sebab tu ada segelintir orang pemahaman dia pakai tudung wajib, tak ada pemahaman yang betul pasal aurat. Kalau kalian rasa betul, betul la tetapi kalau pakai tudung wajib jadi boleh la pakai turban nampak leher,” soal Fatin.
Terdahulu, pelakon dan usahawan terkenal, Mawar Rashid mengejutkan ramai pihak apabila mengambil keputusan untuk tidak lagi bertudung. – KOSMO! ONLINE