fbpx

Dua beradik kembar maut nahas dua kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba mengeluarkan dua beradik kembar yang tersepit dalam kemalangan di Kampung Changkat Rambai, Jalan Kampung Gajah-Tanjung Tualang di Pasir Salak hari ini. - Foto IHSAN JBPM Gambar kecil: Nur Shahidah (kiri) dan Nur Zuhaida (kanan)

PASIR SALAK – Dua beradik kembar maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kampung Changkat Rambai, Jalan Kampung Gajah-Tanjung Tualang di sini hari ini.

Mangsa yang maut dikenali Nur Zuhaida Abdull Karim dan kembar, Nur Shahidah masing-masing berusia 33 tahun.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas kereta jenis Perodua Kancil dinaiki dua beradik beralamat di Felcra Bandar Baru Seberang Perak, Kampung Gajah itu bertembung dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.17 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah diatur gerak ke lokasi kemalangan bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Setibanya anggota di lokasi, didapati kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di mana terdapat dua mangsa tersepit dalam kereta Perodua Kancil.

“Ketua operasi segera melakukan penilaian risiko di lokasi kejadian sebelum mengarahkan anggota menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa tersepit,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua mangsa tersepit yang berjaya dikeluarkan itu mengalami kecederaan parah dan disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian.

Katanya, pemandu dan penumpang SUV berusia 37 dan 22 tahun mengalami luka-luka di bahagian badan.

“Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 1.10 tengah hari,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI