PETALING JAYA – “Biar polis je buat siasatan.”
Demikian respons penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 35, berhubung perintah injunksi interim (sementara) oleh Mahkamah Sesyen menghalang dirinya dan pempengaruh Mondy Tattoo mengeluarkan sebarang kenyataan yang mencemarkan reputasi Ebit Lew, keluarga dan rakan-rakannya.
Bagaimanapun, pelantun lagu Lenglui itu berkata, dia dan pasukannya tidak akan berdiam diri dan akan mengadakan sidang akhbar dalam masa terdekat berhubung perkara terbabit.
“Bagi pihak berkuasa (polis) sahajalah buat kertas siasatan tersebut.
“Tetapi, nanti saya akan buat sidang akhbar juga tentang hal ini. Saya akan bagi kenyataan untuk kesemuanya.
“Buat masa sekarang, saya dan pasukan sedang buat persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Terdahulu, perintah injunksi interim (sementara) yang dikeluarkan pada 5 Oktober lalu turut mengarahkan Caprice dan Mondy atau nama sebenarnya, Dita Restu Amanda untuk memadamkan satu rakaman antaranya dalam laman sosial YouTube dan video Instagram penyanyi rap itu.
Kesemua video dan rakaman itu hendaklah dipadamkan dalam tempoh 24 jam selepas perintah injunksi sementara itu dikeluarkan.
Sebelum ini, berdasarkan dokumen yang diperoleh, Ebit menuntut suatu perintah injunksi mengarahkan defendan pertama dan defendan kedua atau wakil-wakil daripada kedua-dua defendan itu untuk mengeluarkan atau memadamkan video dan posting dan pernyataan fitnah secara tulisan.
22 September lalu, Ebit telah memfailkan saman fitnah terhadap Caprice dan Mondy menerusi Tetuan Akberdin & Co. – KOSMO! ONLINE