PETALING JAYA – Siapa yang tidak seronok jika insan tersayang hadir beri sokongan dan itulah yang dirasai penyanyi Aliff Aziz apabila isterinya, Bella Astillah hadir ke konsert minggu ketiga All Stars Gegar Vaganza (GV10) Ahad lalu.
Kata Aliff atau nama penuhnya Mohammad Aliff Aziz, 32, kehadiran Bella pada hari tersebut seperti meledakkan lagi semangat juangnya untuk terus bersaing di pentas GV10.
“Ini kali pertama dia hadir (minggu lalu) sebab jadual kerjanya sangat padat.
“Apabila dia hadir ke belakang pentas dan beri semangat, itu sangat membantu saya secara keseluruhan. Sebenarnya itu yang selalu dia buat sejak GV8,” katanya kepada Kosmo! Online selepas konsert minggu ketiga GV10 baru-baru ini.
Mengakui kehadiran Bella mencetuskan semangat berbeza, bekas juara GV8 itu sentiasa berharap isterinya akan muncul di setiap konsert mingguan GV10 selepas ini.
“Perasaan memang lain bila dia hadir. Beberapa minggu sebelum ini saya lihat Hady Mirza dan Ayai Ilusi ditemani isteri masing-masing.
“Tidaklah cemburu tetapi momen sebegitulah yang saya lalui pada GV8 (ditemani Bella).
“Bila dia hadir minggu ini (Ahad lalu), saya rasa akhirnya! Malah terdetik dalam hati ‘saya pun ada! (isteri menemani).
“Saya juga harap dia akan teman setiap minggu selepas ini, insya-Allah. Dia pun ada maklumkan, jika tiada kekangan kerja, dia pasti akan hadir,” ujarnya.
Sejak kelmarin, nama Aliff dan Bella hangat menjadi bahan bualan ramai selepas aktres Sophia Albarakbah muncul di konsert GV10 yang berlangsung di Dewan Auditorium MBSA pada Ahad lalu. – KOSMO! ONLINE