fbpx

Abd. Latif, perunding hartanah kekal bebas kes rasuah dan cuci duit RM35.7 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Fauzan (dua dari Kiri) diapit ibu bapanya manakala Amir Shariffuddin bersalaman dengan Salehudin di luar mahkamah selepas mereka dilepas dan dibebaskan di Mahkamah Tinggi, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi, di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan anak bekas Exco Johor, Datuk Abd. Latif Bandi dan perunding hartanah daripada pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta, enam tahun lalu.

Hakim Noor Hayati Mat membuat keputusan tersebut selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan melampaui keraguan munasabah terhadap Ahmad Fauzan Abd. Latif, 31, dan Amir Shariffuddin Abd. Raub, 50.

Amir Shariffuddin menghadapi 33 pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) akta sama.

Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin masing-masing turut berdepan empat pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Noor Hayati membuat keputusan itu setelah meneliti keputusan hakim Mahkamah Sesyen, Kamarudin Kamsun, pada 7 Ogos tahun lalu berdasarkan keterangan bersumpah semua saksi, meneliti kesemua exhibit, memeriksa keterangan bertulis yang difailkan dan hujahan lisan pada akhir kes pembelaan.

Noor Hayati juga berpendapat wang yang diterima Amir Shariffuddin adalah servis konsultasi R1 dalam urusan yang tidak menyalahi mana-mana peruntukkan undang-undang.

Katanya, penarikan balik rayuan terhadap Abd. Latif memberi kesan kepada kedua-dua tertuduh setelah gagal membuktikan kes terhadap bekas exco kerajaan negeri itu membabitkan anaknya dan Amir Shariffuddin.

“Maka, setelah meneliti keterangan kedua tertuduh dalam pembelaan mereka, saya dapati anggapan dibawah Seksyen 50(1) ASPRM telah berjaya dipatahkan oleh Amir Shariffuddin, Ahmad Fauzan juga telah mematahkan inferen dibawah Seksyen 4(2) AMLA dan tiada kekhilafan dipihak hakim Mahkamah Sesyen dalam menerima penjelasan mereka.

“Berdasarkan alasan dan pendapat yang diberikan, saya berpendapat, tiada kekhilafan dari segi undang-undang dilakukan oleh hakim Mahkamah Sesyen dalam membuat keputusan pelepasan ini, maka dengan ini rayuan perayu ditolak dan perintah pembebasan dan pelepasan Amir Shariffuddin dan Ahmad Fauzan dikekalkan,” katanya.

Pada 7 Ogos tahun lalu, Mahkamah Sesyen telah melepaskan dan membebaskan Amir Shariffuddin, Abd. Latif dan Ahmad Fauzan Hatim diakhir kes pembelaan dan rayuan telah difailkan terhadap ketiga- tiga responden.

Pada 20 Oktober tahun lalu, rayuan terhadap Abd. Latif ditarik balik dan Timbalan Pendakwa Raya meneruskan rayuan terhadap Amir Shariffuddin dan Ahmad Fauzan sahaja.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Ahmad Akram Gharib; Mahadi Abdul Jumaat, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Zender Lim Wai Keong.

Sementara Amir Shariffuddin dan Ahmad Fauzan diwakili Datuk Salehudin Saidin, Khairulazwad Sariman, Zulaikha Aini Mohd. Khair Johari, Siti Sarah Khalil, Tuan Abd. Rahim Ali, Ahmad Nur Awalluddin Zakaria dan Syahmi Nawawi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI