IPOH – Lebih 300 peluang pekerjaan dan penempatan latihan industri ditawarkan sepanjang dua hari penganjuran Karnival Kerjaya Politeknik Ungku Omar (PUO) 2023 sejak semalam.
Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) PUO, Dr. Mohd. Nor Azam Mohd. Dali berkata, program tersebut telah dihadiri oleh lebih 1,000 orang pengunjung terdiri daripada para pelajar, alumni dan pencari kerja di sekitar bandar raya ini.
“Penganjuran Program Karnival Kerjaya Politeknik Ungku Omar 2023 bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan PUO, memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai peluang kerjaya di industri serta menghadiri temu duga bagi tujuan penempatan latihan industri atau mendapatkan pekerjaan.
“Pihak industri juga berpeluang mengenal pasti calon yang berpotensi bagi tujuan penempatan latihan industri atau tawaran pekerjaan dan seterusnya mengukuhkan kolaborasi progresif antara industri dan Politeknik Ungku Omar,” katanya ketika berucap merasmikan karnival tersebut di sini hari ini.
Sebanyak 13 syarikat industri dan dua institusi pendidikan tinggi telah menyertai program dua hari itu yang bermula sejak semalam.
Syarikat tersebut ialah Hovid Berhad, PwC Malaysia, Plexus Manufacturing Sdn. Bhd., Tetra Pak (M) Sdn. Bhd, Hartalega NGC Sdn. Bhd., Daikin Malaysia Sales & Service Sdn. Bhd, Unisem (M) Berhad, SLB (Schlumberger WTA Sdn Bhd) dan Genting Malaysia Berhad.
Turut terlibat ialah Synergy Group, Intel Microelectronics (M) Sdn. Bhd., Azam Achievers Management, Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menurut Dr. Mohd. Nor Azam, pengisian aktiviti sepanjang penganjuran Karnival Kerjaya PUO 2023 seperti Seminar TVET (latihan teknikal dan vokasional), sesi perkongsian industri dan temu duga penempatan latihan industri dan pekerjaan menjadi tumpuan utama para pengunjung.
Dalam pada itu, beliau berkata, PUO turut memeterai kerjasama dengan syarikat Sapura Energy Berhad, Sandaran Impian Sdn. Bhd. dan Chen & Co Tax Services Sdn. Bhd. yang bakal menyaksikan kerjasama dalam bidang Kejuruteraan dan Perbankan Perakaunan. – KOSMO! ONLINE