BANGKOK – Thailand bekerjasama dengan Jordan, Mesir dan Malaysia untuk memastikan pembebasan 11 rakyatnya yang dijadikan tebusan semasa tentera Israel membedil Gaza, kata seorang timbalan menteri luar Bangkok seperti dilaporkan portal berita Channel News Asia semalam.
“Kami sedang menyelaraskan dengan negara-negara yang mempunyai hubungan dengan negara yang telah menjadikan rakyat kami sebagai tebusan untuk berunding bagi pembebasan mereka,” kata menteri berkenaan, Jakkapong Sangmanee pada satu taklimat akhbar.
Menurutnya, rundingan untuk mendapatkan pembebasan warganegara Thailand itu menemui hasil penyelesaian yang sangat positif tetapi beliau enggan memberikan sebarang butiran lanjut.
Kira-kira 1,400 warga Thailand telah mendaftar untuk dipindahkan dari Israel, katanya sambil menambah, kumpulan pertama pulang adalah mereka yang mengalami kecederaan.
Kira-kira 30,000 rakyat negara itu bekerja di Israel, membentuk salah satu kumpulan pekerja asing terbesar di Israel.
Lebih 600 orang terbunuh di Gaza selepas jet-jet tentera Israel mengebom kawasan perumahan, terowong, masjid dan kediaman Hamas.
Sejumlah 12 warga Thailand terbunuh, sembilan cedera dan 11 lagi diculik, kata kerajaan Thailand apabila pejuang Hamas melancarkan serangan roket dan menyusup masuk ke Israel. – AGENSI