fbpx

Umat Islam tidak boleh sertai maraton anjuran institusi berasaskan riba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Tidak boleh seseorang muslim itu menyertai acara maraton dianjurkan oleh institusi berasaskan riba.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hal ini kerana ia merupakan wasilah kepada perkara yang jelas pengharamannya iaitu riba.

“Sekiranya individu itu mengetahui pihak yang menaja acara maraton itu menjalankan jual beli diharamkan oleh syarak, tetapi masih degil dan enggan menjauhkan diri daripada mempromosikan syarikat tersebut, maka dia melakukan perkara haram dan berdosa.

“Akan tetapi, sekiranya dia tidak cakna tentang senarai penaja bagi acara maraton tersebut, atau tidak tahu bahawa syarikat tersebut menjalankan jual beli berunsurkan riba, maka kami berharap mereka ini diberikan keampunan oleh Allah SWT atas kesilapan apa yang mereka telah lakukan tanpa pengetahuan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi penjelasan pada laman web Maktabah Albakri, hari ini bagi menjawab persoalan individu yang bertanyakan hukum menyertai acara maraton dianjurkan oleh institusi berasaskan riba.

Dalam masa sama, Zulkifli berkata, pihaknya menasihati pendakwah agar tidak memukul rata kesemua peserta yang menyertai acara maraton sebagai pendosa yang sengaja mempromosikan syarikat berasaskan riba.

“Yang lebih baik adalah kita menunjukkan sifat toleransi dan lemah lembut dalam memberikan nasihat serta peringatan agar masyarakat awam lebih mudah menerima kebenaran.

“Kami mengesyorkan agar pihak yang terbabit dalam penganjuran, perlulah cakna dan prihatin akan sensitiviti umat Islam jika ingin menganjurkan sebarang program. Sebagai contoh, pastikan penganjuran tersebut selamat daripada unsur yang membawa kepada tipu daya, riba dan lain-lain.

“Kami yakin, niat dan nawaitu yang baik perlu diselarikan dengan mengikut neraca syariat. Usaha yang mereka lakukan itu akan bertambah tinggi nilai dan ertinya jika benar-benar dapat mematuhi piawaian syariat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI