SHAH ALAM – Tiada unsur pilih kasih dalam pembahagian markah dan komen terhadap para peserta dalam program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) kali ini.
Itu yang dipertahankan barisan juri tetap program GV yang kini memasuki musim ke-10 (GV10). Ketua jurinya, Datuk Ramli MS berkata, perkara sebegitu tidak pernah wujud dalam kamus kerja sebagai juri, bukan hanya untuk musim kali ini, bahkan musim-musim terdahulu yang pernah dikendalikan.
Maestro muzik berusia 64 tahu itu berkata, pendekatan sama dilakukan dua juri lain iaitu Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
“I dont think so (Saya tak rasa begitu),” katanya ringkas.
Sementara Syafinaz pula berkata, mereka bertiga menjalankan tugas sebagai pemberi markah kepada peserta yang bertanding secara profesional.
“Saya rasa komen kami mungkin berlapik tetapi tiada favoritism (pilih kasih).
“Kalau favoritism, semua peserta tidak akan tersingkir sehingga konsert akhir.
“Kami semua profesional dan cakap benda yang benar berdasarkan apa yang kita nampak,” ujarnya.
Syafinaz yang juga guru vokal juga berpendapat setiap komen yang diberikan kepada para peserta lebih kepada berkaitan persembahan dan tidak semua pihak memahaminya.
“Kadang-kadang benda (persembahan) itu mungkin pada anda okey.
“Contohnya saya tegur ada peserta menyanyi ‘sharp’ tetapi orang bersorak sebab mereka tidak faham perkara teknikal sebegitu. Mereka anggap satu pujian sedangkan bukan,” jelasnya ringkas.
Sejak semalam, media sosial dibanjiri dengan komen netizen yang tidak berpuas hati dengan komen dan pemarkahan diberikan juri terhadap beberapa peserta GV10 pada konsert minggu ketiga malam tadi.
Antara yang disuarakan netizen dalam media sosial ialah kelayakan Jaclyn Victor mendapat markah tertinggi dan komen pedas yang diberikan terhadap persembahan serta nyanyian Azharina.
“Persembahan Jaclyn okey tetapi tidak adil untuk Liza Hanim dan Naqiu yang lebih baik.
“Kesal dengan juri, Azharina menyanyi okey cuma dia tersenyum. Ada peserta lain persembahan lebih teruk tetapi markah tinggi,” komen netizen.
Terdahulu, Azharina yang mendendangkan lagu keroncong Sayang Disayang milik Rubiah pada konsert GV10 semalam hanya berpuas hati di kedudukan 11 dengan memperoleh markah juri sebanyak 58 peratus.
Sementara, Jaclyn Victor pula selesa pada kedudukan pertama dengan pungutan markah sebanyak 76 peratus.
Kedudukan kedua dimiliki Liza Hanim dengan pungutan markah sebanyak 74.75 peratus sementara ditempat ketiga mejadi milik Naqiu (74.50 peratus).
Peserta di kedudukan tercorot, penyanyi Ayai Ilusi pula terselamat dari (ASGV) apabila tiada penyingkiran dibuat semalam. – KOSMO! ONLINE