KOTA KINABALU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menjalankan siasatan terperinci berkaitan video tular mendakwa sebuah premis di daerah Sandakan menjual beras plastik.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan pihaknya sudah mengambilmaklum perkara berkenaan dan memastikan tindakan tegas diambil sekiranya kejadian tular terbabit benar-benar berlaku.
“Siasatan terperinci sedang dilaksanakan KPDN cawangan Sandakan dengan kerjasama Bahagian Kawalselia Padi dan Beras. Setakat ini siasatan dibuat di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Pelindungan Pengguna.
“Premis yang didakwa menjual beras plastik seperti dalam video tular juga sudah dilawati dan kita sedang mendapatkan maklumat tambahan daripada pengadu yang menuralkan video tersebut,” katanya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas).
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pegawai Teknikal Contract of Service (CoS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.
Terdahulu, satu video berdurasi satu minit 20 saat menjadi tular pagi ini dengan memperlihatkan seorang lelaki mendakwa beras yang dijual di salah sebuah premis di daerah Sandakan adalah beras plastik.
Dalam pada itu, Armizan berkata, tindakan tegas bakal dikenakan ke atas pihak berkaitan sekiranya dakwa yang tular itu adalah benar. – KOSMO! ONLINE