PETALING JAYA – Simpati dengan serangan terhadap rakyat Palestin, pelakon Mimi Lana meluahkan kesedihan membaca berita tentang kemelut peperangan antara pejuang Hamas dan Israel.
Hanya mahukan yang terbaik, pemilik nama lengkap Mimi Rozaiana Zainal Abidin itu terus mendoakan kesejahteraan buat rakyat Palestin yang berhadapan krisis peperangan.
“Hati saya sakit melihat semua berita yang lalu ‘timeline’ saya. Semoga Allah sentiasa bersama Palestin.
“Semoga mereka terus kuat di sana. Amin,” katanya ringkas dalam aplikasi X.
Angka korban rakyat Palestin kini meningkat sekurang-kurangnya 700 orang.
Selain Mimi Lana, artis lain yang turut bersimpati dengan nasib penduduk Palestin ialah penyanyi dan ahli perniagaan, Heliza Helmi.
Heliza sangat aktif memuat naik gambar dengan tulisan tanda pagar #IsraelCuak sebagai sokongan penuh ke atas nasib Palestin.
Baru-baru ini, pejuang Hamas melakukan serangan ke atas Israel dengan melancarkan serangan roket besar-besaran di samping serangan darat udara dan laut.
Serangan itu berlaku susulan peningkatan keganasan selama beberapa bulan melibatkan konflik Israel-Palestin.
Dalam masa sama, Ketua Angkatan Tentera Penentang dan Komander Briged Al-Qassam, Muhammad Al-Deif menyeru rakyat Malaysia menyertai jihad Palestin melalui sokongan serta demonstrasi. – KOSMO! ONLINE