KUALA LUMPUR – Dakwaan seorang lelaki ‘hilang’ ketika membuat urusan penjualan telefon bimbit akhirnya terjawab apabila siasatan polis mendapati mangsa sebenarnya melarikan diri daripada pemungut hutang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia 27 tahun itu telah hadir ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam, malam tadi.
“Mangsa dalam keadaan selamat. Tiada apa-apa kejadian (seperti didakwa) berlaku keatas penama tersebut.
“Mangsa melarikan diri atau menyembunyikan diri dari pemungut hutang,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini, hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan pihak polis sedang mengesan keberadaan mangsa dan juga tunangnya yang didakwa dilarikan ketika melakukan urus niaga telefon bimbit, baru-baru ini.
Hussein dilaporkan berkata, pihaknya sedang usaha berhubung dengan mangsa untuk mengetahui kejadian sebenar yang berlaku.
“Jika ada pengesahan daripada mangsa mengenai sebarang perkara jenayah, pihak IPD Klang Selatan akan buka kertas siasatan,” ujarnya.
Terdahulu, seorang lelaki berusia 27 tahun dikatakan diselamatkan pemandu lori selepas dilaporkan hilang selama empat hari.
Lelaki tersebut dikatakan kali terakhir dikesan berada di George Town, Pulau Pinang selepas dikatakan sempat membuat panggilan video dengan tunangnya untuk meminta tolong sambil berlari dan menangis.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid telah mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa di Balai Polis Pantai, IPD Brickfields, yang dibuat tunang lelaki itu.
Allaudeen dilaporkan berkata, kes itu kemudian dirujuk ke IPD Klang Selatan selepas mangsa dikesan kali terakhir bertemu pelanggannya di pusat beli-belah GM Klang. – KOSMO! ONLINE