fbpx

Rayu padam gambar dedah aurat, Aniq Suhair nak berhenti berlakon?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKON Aniq Suhair memohon orang ramai yang ada menyimpan gambar atau videonya dalam keadaan tidak menutup aurat supaya memadam gambar tersebut.

PETALING JAYA – Pelakon Aniq Suhair meminta jasa baik semua pihak memadam semua gambar atau video dalam keadaannya berseluar pendek (tidak menutup aurat).

Perkara tersebut dimaklumkan pelakon muda berusia 23 tahun itu menerusi hantaran yang dimuat naik dalam InstaStory miliknya.

“Assalamualaikum semua. Saya nak minta kerjasama kepada sesiapa yang memuat naik gambar atau video saya berseluar pendek, mohon padam. Saya minta tolong untuk padam

“Mudah-mudahan Allah SWT lindungi aurat dan aib kita juga. Amin,” ujarnya.

Aniq atau nama lengkapnya Muhammad Aniq Suhair Mohd Salleh ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, dia kini dalam fasa memperbaiki diri dan sedang sedaya-upaya mengelak daripada melakukan dosa.

Aniq juga tidak mahu menanggung dosa yang terus mengalir gara-gara fotonya tidak menutup aurat masih bertebaran dalam media sosial.

“Sebab memakai seluar pendek (dari pusat ke lutut) itu tidak menutup aurat (lelaki). Saya sedar, selagi orang tengok aurat kita, selagi itu dosa kita akan berjalan terutama ketika zaman media sosial.

“Saya tidak mahu dosa saya berterusan dan memilih untuk beri arahan supaya padam gambar-gambar saya berseluar pendek dalam media sosial. Saya dalam fasa mahu memperbaiki diri.

“Mana yang dosa-dosa kecil itu, saya mahu elakkan,” ujarnya kepada Kosmo! Online.

Ujar bekas peserta Hero Remaja itu lagi, dia turut sedar keadaan dunia yang kian ‘uzur’ dan mahu memperbaiki diri untuk meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah dengan memperbanyakkan melakukan kebaikan.

“Sedar tak sedar, sebenarnya kita hampir di penghujung (hari kiamat). Mana yang boleh diperbaiki, kita perbaiki.

“Mana yang teruk kita tinggalkan. Mana yang baik kita teruskan,” jelasnya.

Pada masa sama, Aniq turut mendedahkan hatinya tergerak untuk berubah ke arah kebaikan selepas terbabit dalam drama berjudul Cinta Bersemi Di Wafi Safiyyah untuk slot Akasia di TV3 dengan memegang watak sebagai Ustaz Iqbal.

“Sebenarnya saya sedang menjalani penggambaran drama terbaharu berjudul Cinta Bersemi Di Wadi Safiyyah. Ceritanya tentang keagamaan antara manusia dan Tuhan.

“Jadi semasa proses penggambaran, sedikit sebanyak membuka mata saya untuk terus berubah ke arah kebaikan.

“Arahan saya dalam InstaStory itu ditujukan kepada sesiapa yang ada berkongsi gambar saya dalam keadaan tidak menutup aurat. Tolonglah padam. Kalau boleh padam terus dari dalam galeri.

“Tak salah kalau kita hendak memperbetulkan semua sekarang,” ujarnya.

Dalam satu hantaran berbeza, Aniq turut berkongsi status seolah-olah memberitahu drama Cinta Bersemu Di Wadi Safiyyah bakal menjadi karya terakhirnya dalam bidang lakonan.

“Sebuah karya terakhir daripada saya buat kamu semua,” tulisnya.

Bagaimanapun, Aniq ketika diminta untuk mengulas lanjut tentang perkara itu berkata, dia hanya merancang dan Tuhan yang akan menentukan.

“Kita hanya mampu merancang, Allah yang tentukan,” katanya ringkas.

Dalam ruangan komen, rata-rata pengikutnya terkejut dengan pengumuman tersebut, namun tidak kurang juga yang menyambut baik hasratnya untuk berubah ke arah yang lebih baik.

“Semoga terus berjaya dan diiringi perkara yang baik-baik sahaja. Terima kasih kerana pernah mewarnai hidup kami,” ujar seorang peminatnya.

“Kenapa yang terakhir? Apa-apa pun, semoga segala urusan Aniq dipermudahkan dan sentiasa dalam Rahmat Allah SWT,” kata seorang lagi peminatnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI