fbpx

Polis belum tentukan bentuk pertuduhan terhadap Roger Ng – Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin ketika sidang akhbar selepas sesi libat urus bersama badan pengurusan agama di Putrajaya, hari ini. -Foto FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menentukan sebarang bentuk pertuduhan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia bergantung kepada siasatan lanjut oleh pihak polis.

Beliau berkata, adalah terlalu awal untuk meramalkan perkara (pertuduhan) itu dan ia belum diperincikan oleh pihak polis.

“Ketika ini, polis belum lagi memutuskan bentuk tuduhan terhadap Roger Ng sama ada berkaitan siasatan kes yang lama atau baharu.

“Sebelum ini, siasatan terhadap Roger Ng terhenti selepas dia di bawa ke Amerika Syarikat untuk pendakwaan kes 1 Malaysia Development Bhd (1MDB),” katanya pada sidang akhbar selepas selesai sesi libat urus bersama badan pengurusan agama di sini, hari ini.

Katanya, siasatan terhadap Roger adalah bertujuan mengembalikan semula aset negara khususnya bagi mengembalikan aset daripada Goldman Sachs dan 1MDB.

Saifuddin berkata, keberadaan Roger Ng di negara ini adalah hasil kerjasama Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dan Jabatan Peguam Negara yang diputuskan ketika pimpinan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Menurutnya, Jabatan Peguam Negara ketika itu memberi tempoh sehingga Februari depan kepada DoJ untuk menyelesaikan kes terhadap Roger Ng.

Ditanya berapa lama keberadaan Roger Ng di negara ini, Saifuddin berkata, pihaknya tidak dapat menentukan tempoh berkenaan sebaliknya ia bergantung kepada siasatan oleh pihak polis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI