JAKARTA – Tindakan seorang petani memijak-mijak buah tembikai kerana berang hasil tuaiannya tidak mendapat permintaan mengundang kecaman pengguna media sosial yang menyifatkan perbuatan tersebut tidak wajar, lapor program berita Liputan6 kelmarin.
Dalam video yang dikongsikan di laman TikTok, petani berasal dari Banyuwangi, Jawa Timur itu dilihat memijak buah tembikai yang sudah dibelah dua.
Menurut keterangan video, petani tersebut mahu menunjukkan rasa marah kerana harga tembikai merosot teruk sehingga ia tidak laku dijual.
“Di sini ada buah tembikai yang tidak laku. Kita pijak sahaja kerana ia tidak laku (dijual),” kata wanita itu dalam video tersebut.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen netizen yang mengecam tindakan petani berkenaan.
“Daripada memijak (tembikai), lebih baik sedekahkan sahaja kepada penduduk setempat. Ia lebih bermanfaat,” kata seorang netizen.
Namun, ada juga dalam kalangan pengguna yang menyifatkan tindakan itu dilakukan kerana petani tersebut mahu mengambil biji tembikai.
“Dia hanya mahu mengambil biji benih (biji tembikai),” kata pengguna lain. – AGENSI