KUALA TERENGGANU – Sebuah insinerator bakal dibina di Pulau Redang di sini sebagai penyelesaian masalah sistem pengurusan sisa domestik dan pepejal yang telah membelenggu pulau peranginan terbabit sekian lama.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya berpendapat pembinaan insinerator tersebut merupakan solusi terbaik bagi mengatasi isu lambakan sampah yang telah berlarutan sejak lebih dua tahun lalu.
Beliau berkata, projek insinerator yang mendapat kerjasama United Nation Development Programme (UNDP)
tersebut dijangka akan dipasang di Pulau Redang dalam tempoh selewat-lewatnya hujung tahun ini.
“Pembinaan insinerator di Pulau Redang telah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini.
“Isu dokumentasi berkaitan tanah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah selesai dan pemasangan (insinerator) akan dilakukan kontraktor dilantik pada masa terdekat,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan seramai kira-kira 2,000 penduduk Kampung Baru Pulau Redang dekat sini keresahan berhadapan dengan masalah timbunan sampah dan sisa pepejal yang mengganggu kualiti hidup mereka seharian.
Isu tersebut didakwa sudah berlarutan sejak dua tahun lalu namun semakin kronik kira-kira dua bulan lalu ekoran kegagalan kontraktor dilantik MBKT mengangkut keseluruhan sampah-sarap ke daratan untuk dilupuskan.
Ahmad Samsuri mengakui kaedah mengangkut sisa domestik dan pepejal itu menggunakan bot untuk dilupuskan yang diamalkan MBKT pada waktu ini sudah tidak praktikal. – KOSMO! ONLINE