TIADA apa yang dapat diungkapkan oleh Nur Adlina Nasreen Mohd. Nasri, 19, selain syukur kepada Allah SWT apabila berjaya menghadiahkan pingat buat negara.
Ketika Sukan SEA Kemboja 2023 lalu, dia berjaya menyumbang pingat gangsa buat negara dalam sukan perahu layar.
“Saya sendiri tidak menyangka dapat menyumbang pingat buat negara kerana saya masih kurang pengalaman.
“Namun, setelah berjaya meraih pingat, saya gembira dan menganggap ia adalah rezeki buat saya,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.
Nur Adlina merupakan atlet perahu layar berbakat besar yang telah mengharumkan nama negara dalam beberapa kejohanan disertainya.
Malah, dia telah menjuarai Champion ILCA 6 Women(U19) sempena ILCA Asian Open Championship 2022 yang berlangsung di Pattaya, Thailand.
Berbicara tentang penglibatannya dalam sukan perahu layar, gadis yang berasal dari Kangar, Perlis itu menjelaskan, dia mula melibatkan diri dalam sukan berkenaan sejak berusia sembilan tahun.
Menurutnya, penglibatan dalam sukan perahu layar berlaku secara tidak sengaja.
“Pada ketika itu, ayah saya bermain permainan perahu layar kawalan jauh di Tasik Timah Tasoh, Perlis.
“Kebetulan ada seorang jurulatih perahu layar di situ dan mereka sedang mencari pelapis atlet perahu layar untuk Perlis,” katanya.
Pada ketika itu, dia terlibat secara aktif dalam sukan gimrama dan gimnastik.
Namun, Nur Adlina merasakan sukan itu tidak sesuai buatnya kerana dia sedang membesar.
Ayahnya kemudian cuba menghantar Nur Adlina menyertai sukan perahu layar.
Sejak itu, dia terlibat aktif dalam sukan perahu layar sehingga membolehkannya mewakili negara ke beberapa kejohanan besar.
Nur Adlina mengakui, pada mulanya, dia takut dengan sukan itu kerana melibatkan air. Namun, lama-kelamaan dia mula suka dan jatuh cinta dengan sukan itu.
Malah, pada usia 15 tahun dia telah dipilih untuk mewakili negara.
“Apabila terpilih untuk mewakili negara saya harus berjauhan dengan keluarga.
“Ini kerana, saya harus tukar sekolah dan berpangkalan di Pulau Langkawi (Kedah) bagi menjalani latihan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Nur Adlina mengimpikan untuk capai peringkat tertinggi dalam sukan perahu layar.
“Sasaran saya untuk bertanding dalam Sukan SEA telah tercapai.
“Jadi, saya harus meletakkan sasaran lain yang lebih tinggi selepas ini.
“Sasaran seterusnya, saya ingin beraksi di Sukan Olimpik,” katanya.
Sementara itu, biarpun sibuk dengan hal berkaitan sukan, namun dia tidak melupakan aspek pelajaran.
Kini, Nur Adlina sedang mengikuti pengajian Diploma Bahasa Inggeris di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak.
Dia memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang itu kerana dari kecil amat meminati bahasa Inggeris.
“Bapa saudara juga merupakan bekas guru bahasa Inggeris.
“Ini sedikit sebanyak mendorong saya meminatinya.
“Impian saya juga ingin menjadi pensyarah dalam bidang ini dan akan belajar setinggi yang boleh bagi memenuhi impian ini,” jelasnya.
Nur Adlina mengakui, dia harus membahagikan masa antara sukan dan pelajaran.
Ini kerana, dalam sebulan dia perlu mengambil cuti selama seminggu bagi membolehkannya menjalani latihan di Langkawi.
Sementara itu, Nur Adlina menjelaskan, dia sebenarnya merupakan penggemar buah durian.
Malah, dia mempunyai impian untuk memiliki dusun durian sendiri.
“Saya memang penggemar durian. Pada masa hadapan, jika ada rezeki saya ingin memiliki dusun durian sendiri.
“Saya juga berhasrat untuk menjalankan perniagaan menjual buah durian jika diberi kesempatan kelak,” terangnya.