KUALA LUMPUR – Malaysia kekal berpendirian bahawa rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel, hak dikembalikan tanah yang telah dirampas oleh Israel dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian lantang dan tegas Malaysia telah kerap kali dinyatakan secara jelas dan terang di setiap lapangan, keadaan dan masa termasuk di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Tambah Ahmad Zahid, Perdana Menteri sendiri dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada 22 September 2023 lalu, telah dengan tegas menekankan pendirian Malaysia mengenai isu Palestin.
“Ketegasan Malaysia juga jelas dapat dilihat berdasarkan kenyataan keras yang seringkali dikeluarkan negara dalam mengecam dan membantah segala bentuk provokasi dan tindakan keganasan rejim Israel.
“Ia termasuk menggesa masyarakat antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk terus menekan rejim Israel agar menghentikan dasar apartheid, dan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin,” jelas beliau ketika Kenyataan Menteri berhubung perkembangan semasa konflik Palestin-Israel di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad Zahid berkata, Malaysia turut menyertai beberapa negara lain dalam mengemukakan kenyataan bertulis kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 25 Julai 2023 mengenai pendudukan, penempatan haram dan pengilhakan (pengambilan wilayah tanpa kebenaran) yang berpanjangan Israel ke atas Wilayah Palestin sejak 1967.
Malaysia juga katanya, terbuka dan akan terus menyokong segala usaha konkrit dan realistik untuk mencari jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel.
“Penyelesaian ini hendaklah berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan PBB serta memenuhi teras-teras yang telah saya nyatakan dahulu termasuk memberi sokongan terhadap keabsahan rakyat Palestin membentuk sebuah negara yang bebas dari pencerobohan Israel yang berterusan dalam meluaskan penempatan Yahudi di Tebing Barat.
“Sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia amat jelas dan merentasi segala aspek baik dari segi politik, ekonomi dan penyaluran bantuan kewangan, pembangunan kapasiti, termasuk pembangunan semula infrastruktur.
“Sumbangan dan bantuan ini disalur dengan pelbagai cara samada secara dua hala, serantau atau pelbagai hala. Alhamdulillah, setakat ini bantuan kita ini membantu rakyat Palestin tidak pernah terhenti,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE