KOTA KINABALU – Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) Sabah mengesahkan sudah menerima aduan secara rasmi berhubung dakwaan terdapat premis menjual beras plastik dalam pasaran di negeri ini.
Pengarah KPB Sabah, Ab Alim Multazam berkata, setakat ini, pihaknya sudah menerima aduan daripada pihak peruncit dan pembekal jenama berkenaan.
Ab Alim berkata, laporan dibuat berikutan rakaman video tular di media sosial sejak beberapa hari lalu berhubung penjualan beras plastik oleh syarikat yang menjaga industri padi dan beras sehingga menimbulkan pelbagai komen negatif.
“Aduan yang diterima adalah berkaitan komen-komen negatif terhadap penularan video di media sosial yang dikhuatiri boleh menimbulkan kerisauan dalam kalangan pengguna.
“Pihak KPB sudah menjalankan siasatan berkaitan dakwaan ini dengan melakukan pengambilan sampel beras di premis peruncit dan pembekal untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisa.
“Pihak KPB juga sama sekali menangkis dakwaan terdapat beras plastik di dalam negara ini secara amnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam pada itu, Ab Alim berkata, setiap kemasukan beras import, pihak Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) akan terlebih dahulu membuat ujian makmal bagi memeriksa keselamatan bahan makanan berkenaan.
Katanya, pihak negara pengeksport juga diminta untuk mengemukakan sijil keselamatan sebagai salah satu syarat ditetapkan.
“Proses ini amat dititikberatkan untuk setiap kemasukan beras import ke negara ini bai menjamin keselamatan terhadap beras yang merupkan makanan ruji rakyat di negara ini.
“Pihak KPB tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kegusaran awam terhadap isu keselamatan makanan terutamanya berkaitan beras,” katanya.
Sementara itu, Ab ALim berkata, pihak KPB juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap yang tidak bertanggungjawab dengan menularkan dakwaan palsu berkaitan beras.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tampil membuat aduan secara rasmi ataupun mendapatkan keterangan sahih daripada KPB dan bukannya menyebarkan sebarang maklumat palsu atau tidak berasas di media sosial.
“Biarlah pihak bertauliah atau pakar membuat pengesahan mengikut kaedah ditetapkan. Jangan membuat keputusan sendiri yang akhirnya mendatangkan kesan buruk kepada diri sendiri yang sekaligus melibatkan integriti pihak lain.
“Pihak KPB sentiasa komited dalam memastikan keterjaminan makanan selamat digunakan oleh pengguna di negara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE