PETALING JAYA – Seorang rakyat Palestin yang baru menamatkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan antara yang terkorban selepas rumahnya dibom tentera Israel.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengurus Besar MyCARE Gaza, Dr. Ziad Shehada berhubung kematian Dr. Mohamad J. Alzaneen bersama keluarganya pada hantaran Facebook hari ini.
Ziad yang fasih bahasa Melayu serta pernah menyambung pengajian PhD di Universiti Malaya (UM) memaklumkan, Mohamad baru menamatkan PhD di USIM beberapa minggu lalu.
“Beberapa minggu lalu, beliau menamatkan PhD di USIM dan pulang ke Gaza. Malam tadi rumahnya dibom, 20 ahli keluarganya terbunuh termasuk dirinya, isteri dan anak-anaknya. Innalillahi wainna ilaihi rajiun,” katanya – KOSMO! ONLINE