NEW YORK – Lebih 123,000 orang menjadi pelarian di Semenanjung Gaza sejak perang antara pejuang Palestin dan Israel tercetus, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
“Sekurang-kurangnya 123,538 orang menjadi pelarian di tanah air sendiri di Gaza, kebanyakan mereka kerana diselubungi ketakutan, mencari tempat berlindung atau kediaman musnah,” kata agensi kemanusiaan PBB, OCHA.
Menurutnya, lebih 73,000 orang berlindung di sekolah-sekolah dengan sebahagiannya diwartakan sebagai tempat perlindungan kecemasan.
Rejim Zionis melancarkan beratus-ratus serangan ke atas Gaza sejak kelmarin, apabila Hamas membedil ribuan roket ke arah Israel.
Jurucakap agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA), Adnan Abu Hasna berkata, dia menjangkakan bilangan tersebut meningkat lebih tinggi.
“Tiada bekalan elektrik di sekolah-sekolah tersebut. Kami membekalkan mereka makanan, air bersih, sokongan psikologi dan rawatan perubatan,” katanya kepada AFP.
Gaza menjadi tempat tinggal kepada 2.3 juta penduduk Palestin yang hidup menderita selepas Israel melaksanakan kepungan darat dan laut susulan kemenangan Hamas dalam pilihan raya pada pada 2007. – AFP