WASHINGTON – Pegawai-pegawai Amerika Syarikat (AS) mengakui tidak menerima sebarang amaran risikan bahawa pejuang Hamas sedang bersiap sedia melancarkan serangan besar-besaran ke arah Israel.
Ia sekali gus mencetuskan kekeliruan tentang bagaimana Zionis gagal mengesan pergerakan roket, seterusnya mempersoalkan kredibiliti risikan Israel, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.
Seorang pegawai kanan perisikan Washington memberitahu CNN bahawa keupayaan Hamas untuk menyelaraskan serangan ke atas bandar Israel tanpa pengesanan menimbulkan kebimbangan kepada AS mengenai ‘titik buta’ teknologi pegawai perisikannya.
Menurutnya, pegawai AS telah memantau tanda-tanda bahawa ketegangan di rantau itu semakin memuncak dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
“Namun, tiada perisikan peringkat taktikal yang memaklumkan pegawai Washington bahawa serangan sebesar ini akan berlaku pada hari ini,” katanya.
Tambahnya, persoalan untuk pegawai perisikan AS dan Israel sekarang adalah sama ada terdapat petunjuk yang telah terlepas pandang atau sama ada Zionis dan Washington gagal mengumpul sebarang maklumat yang mampu meramalkan serangan itu.
“Pegawai Israel dan AS akan menyusun laporan dalam beberapa hari akan datang untuk melihat sama ada terdapat perkara yang gagal dikesan atau jika terdapat risikan yang dikumpul, namun telah tersilap tafsir,” kata pegawai tersebut.
Sementara itu, saluran berita NBC News melaporkan, serangan mengejut oleh Hamas ke atas Israel menunjukkan kegagalan perisikan besar-besaran kerana rejim Zionis gagal mengesan penyusupan pejuang Palestin merentasi sempadan selatan dan pelancaran beribu-ribu roket.
Perkhidmatan risikan Israel telah lama dilihat sebagai kononnya satu daripada yang tercanggih di dunia dengan dengan pelbagai kebolehan termasuk memantau komunikasi di Gaza serta memecah kod komunikasi.
“Sukar dibayangkan bagaimana mereka (Israel) gagal meramal serangan ini,” kata Marc Polymeropoulous, yang berkhidmat 26 tahun dalam Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Lebih 5,000 roket yang dilancarkan dari pelbagai lokasi di wilayah Palestin mengenai sasaran di Baitulmuqaddis dan Tel Aviv sekitar waktu subuh kelmarin. Ketika itu, pejuang Palestin sudah memasuki Israel melalui jalan laut, darat dan udara. – AGENSI