JAKARTA – Seorang guru di Taliwang, wilayah Sumbawa Barat menjadi perhatian pengguna media sosial Indonesia selepas dituntut membayar pampasan 50 juta rupiah (RM15,074) oleh beberapa keluarga pelajar yang tidak berpuas hati anak mereka dihukum, lapor portal berita Grid Pop semalam.
Guru dikenali sebagai Akbar itu menghukum pelajar-pelajar itu kerana enggan menunaikan solat berjemaah.
Menurut laman berita Tribun Jabar, Akbar menyuruh pelajarnya solat berjemaah ketika masuk waktu zuhur.
Namun, tiga pelajar tersebut enggan berbuat demikian lalu dia menegur mereka.
Pelajar-pelajar itu tidak mengendahkan teguran tersebut, menyebabkan Akbar memukul tapak tangan dan bahu mereka.
Keluarga tiga pelajar terbabit berang dan tidak berpuas hati dengan hukuman tersebut. Mereka membuat laporan polis terhadap guru pendidikan Islam Sekolah Vokasional Negeri 1 Taliwang itu.
Akbar dikatakan telah pergi ke rumah ibu bapa pelajar terbabit untuk meminta maaf, namun permohonan maafnya tidak diendahkan.
Dia sebaliknya diminta membayar ganti rugi 50 juta rupiah bagi membolehkan laporan polis ditarik balik.
Kes tersebut dikongsikan di media sosial dan menerima pelbagai komen netizen yang menyokong tindakan guru itu.
“Didik sahaja anak itu sendiri. Jangan hantar ke sekolah jika tak mahu mengikuti arahan,” kata seorang netizen.
“Padahal guru menyuruh beribadah, bukannya mencuri,” kata pengguna lain. – AGENSI