BANGKOK, THAILAND – Seorang kaki pancing dari Britain berjaya menaikkan ikan kap dipercayai terbesar di dunia seberat 114.3 kilogram ketika memancing di Lagun Palm Tree, Chedi Hak, Thailand, lapor akhbar The Sun semalam.
Kelvin Marston, 36, menaikkan ikan kap Siam tersebut Jumaat lalu dengan bantuan rakan, bapanya dan seorang penduduk tempatan semasa bercuti selama 12 hari di Thailand.
“Saya amat terkejut. Saya tidak menyangka ia adalah rekod baharu.
“Kami berempat terpaksa bersama-sama mengangkat ikan tersebut. Kami menaikkannya selama beberapa minit sebelum melepaskannya kembali,” katanya.
Ikan kap Siam ialah spesies kap terbesar dunia dan hidup di lembangan-lembangan sungai di rantau Asia. – AGENSI