fbpx

Industri halal negara buka 25,000 peluang pekerjaan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tengah) merasmikan Program Halal On Track, di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kira-kira 25,000 pekerjaan baharu bakal diwujudkan menerusi industri halal yang dibangunkan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara jawatan yang disediakan adalah sebagai pengaudit dan pengamal halal dengan kerjasama beberapa universiti menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Katanya, usaha tersebut melibatkan kepakaran halal dalam pelbagai bidang seperti farmaseutikal, perbankan, insurans dan lain-lain.

“Kita akan membantu meningkatkan lagi taraf makmal halal untuk melahirkan lebih ramai pakar-pakar yang membantu dalam pengeluaran sijil halal ini, malah, TVET yang saya ketuai juga akan melahirkan kelulusan pengauditan halal melalui TVET.

“Melalui itu, 25,000 peluang pekerjaan baharu disediakan berkaitan industri halal,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Program Halal On Track di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, tindakan proaktif tersebut adalah selari dengan keputusan kerajaan memendekkan proses dan prosedur kelulusan permohonan bagi mendapatkan sijil halal kepada tempoh 23 hari bekerja.

“Langkah ini adalah langkah pertama dan kita akan melakukan uji kaji terhadap memendekkan tempoh itu tanpa berkompromi dari segi kualiti dan juga dari segi beberapa piawaian yang ditetapkan.

“Tentunya langkah-langkah ini akan dapat memberikan lembaran baharu terhadap persijilan halal sebagai sijil yang terbaik dan diterima di seluruh dunia,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau turut memberi jaminan akan memastikan segala ramuan dalam produk-produk halal sama ada makanan, minuman farmaseutikal serta produk-produk lain mempunyai pengesahan yang betul agar tidak timbul pertikaian dalam kalangan pemain industri.

“Ini kami akan lakukan penambahbaikan kerana ada beberapa elemen selama ini menjadi persepsi yang negatif oleh pihak pemacu industri.

“Kita lakukan ini dengan hasrat bahawa kita tidak mahu adanya sindrom penafian dan kita mengambil langkah-langkah ke hadapan untuk mengatasi persepsi ini,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid sempat berkongsi sasaran kerajaan yang mahukan nilai eksport halal Malaysia mampu mencapai RM63 bilion menjelang 2025.

Sasaran itu bagi mencapai ketetapan kerajaan daripada pelan induk industri halal Malaysia 2030, iaitu sebanyak 10.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI