KUALA LUMPUR – Pelakon Dayana Roza memberitahu kehamilannya untuk menimang cahaya mata kedua, lebih ‘seksa’ berbanding sewaktu mengandung anak sulung kerana berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan.
Dayana yang kini sedang sarat hamil lima bulan berkata, dia mengalami masalah yang dipanggil symphysis pubis dysfunction pregnancy (SPD), iaitu keadaan yang menyebabkan tulang pelvisnya menjadi renggang.
Akibatnya, pemilik nama lengkap Nur Dayana Kamsun Baharin, 32, itu terpaksa menanggung rasa sakit pada pangkal paha sehingga sukar untuk dia berjalan dan tidur.
“Kehamilan kali ini memang berbeza berbanding sewaktu mengandung anak pertama. Doktor sahkan saya mengalami masalah dipanggil SPD, iaitu tulang pelvis menjadi renggang sehingga membuatkan saya alami rasa sakit pada pangkal paha.
“Jadi saya berisiko tinggi jika bersalin secara normal. Pernah terjadi kes seorang ibu, tulang pelvisnya tercabut ketika bersalin normal,” katanya kepada Kosmo! Online.
Selain SPD, Dayana juga turut mengalami masalah anemia, iaitu kekurangan darah merah sehingga bacaannya darahnya menjadi terlalu rendah.
“Saya juga mengalami masalah anemia iaitu kekurangan darah merah. Bacaan darah saya sembilan berbanding bacaan normal iaitu 12.
“Jadi saya terpaksa disuntik dengan iron dan dimasukkan darah kerana kerap berasa hendak pitam,” jelasnya.
Walaupun berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan, pelakon yang pernah membintangi drama Cinta Bukan Kristal itu tetap bersyukur, malah lebih gembira apabila bakal menimang cahaya mata lelaki.
“Alhamdulillah, anak kedua nanti saya akan menimang bayi lelaki. Sebenarnya saya sudah dapat rasa bakal dikurniakan bayi lelaki kerana mengalami gejala yang agak teruk berbanding kehamilan terdahulu.
“Untuk kehamilan kali ini, saya jadi ketagih minuman kopi. Hari-hari kena minum kopi tanpa gula. Lagi pahit, lagi sedap,” katanya.
Dalam pada itu, Dayana yang ditemui ketika majlis ‘gender reveal’ jantina bayi dalam kandungannya baru-baru ini turut memberitahu bakal memberi nama untuk anak keduanya bermula dengan pangkal huruf A.
“Untuk anak kedua ini, saya sendiri yang akan beri nama kepadanya. Bermula dengan pangkal huruf A. Namanya adalah gabungan nama moden dan klasik,” kata Dayana yang dijangka bersalin padsa awal Januari tahun hadapan.
Dayana mendirikan rumah tangga bersama suaminya, yang juga seorang ahli perniagaan, A’dale Adham Ayahudin, 36, pada 25 Disember 2020 selepas lima bulan mengikat tali pertunangan.
Majlis yang berlangsung di Majid Negara itu hanya dihadiri sekitar 30 orang tetamu sahaja dalam kalangan keluarga terdekat dan teman rapat kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Hasil perkahwinan tersebut, Dayana dikurniakan cahaya mata perempuan, Astrid Raheeya yang kini berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE