KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menafikan menyalahgunakan kuasa dalam kelulusan rundingan pengambilan tanah di daerah Kudat.
Dakwaan berkenaan membabitkan pengambilan tanah yang didakwa untuk perlombongan pasir silika di daerah terbabit.
“Dakwaan itu adalah berniat jahat, bermotifkan politik dan bertujuan memburukkan nama. Semua mengikut prosedur yang ditetapkan melalui mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC) dan diproses di pejabat.
“Permohonan membabitkan tanah Yayasan Sabah sudah dirujuk kepada Lembaga Pengarah Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) dan semuanya dibuat mengikut undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hajiji berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh terhadap mana-mana siasatan yang dijalankan berhubung dakwaan tersebut.
“Siasatan juga akan dibuat dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai yang mendedahkan dokumen rahsia yang digunakan untuk membuat dakwaan terbabit.
“Pihak berkuasa juga sudah dimaklumkan mengenai akaun Facebook yang memuat naik dakwaan itu. Saya juga akan mengarahkan peguam saya untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap dakwaan palsu ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE