fbpx

Enam pekerja asing tanpa permit kendali bot nelayan tempatan ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Warga asing yang tidak mempunyai permit kerja ditahan di dalam bot nelayan tempatan di kedudukan 21.2 batu nautika tenggara Kuala Kuantan di Kuantan.

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) berjaya menahan enam kru termasuk tekong sebuah bot nelayan kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah di negara ini.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Kamal Ariffin Jusoh berkata, kesemua enam kru warga Vietnam berumur antara 29 hingga 53 tahun itu yang dipercayai bekerja dengan majikan tempatan itu ditahan pada pukul satu petang di kedudukan 21.2 batu nautika tenggara Kuala Kuantan.

“Penahanan dilakukan setelah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan Op Makmur dan Op Tiris telah mengesan sebuah bot nelayan sedang bersauh dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati dua kru tidak mempunyai permit kerja yang sah manakala empat kru lagi termasuk tekong memiliki permit yang meragukan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru warga asing tanpakebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah.

Katanya, bot dan kesemua kru termasuk tekong telah ditahan dan dibawa ke Jeti Penerpa, Kuantan Slipway bersama peralatan menangkap ikan dan hasil laut untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu beliau menasihatkan pengusaha bot supaya mematuhi syarat sah lesen yang dikeluarkan Jabatan Perikanan dan memastikan kru warga asing mendapat kebenaran
daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan sebagaimana yang telah ditetapkan dalam syarat lesen bot.

“Orang awam juga diminta untuk bekerjasama dengan pihak Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang 09- 5717345 atau talian kecemasan MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI