fbpx

“Bukan pertama kali Muhaini sertai kejohanan berasaskan sukan”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mateen (kiri) Sharifah Hapsah (tengah) Mahmud Mohd. Nor (kanan) ketika pengebumian Allahyarhamah Muhaini (gambar kecil) di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Bekas suami kepada Allahyarhamah Muhaini Mahmud, 44, menyifatkan pemergian wanita itu sesuatu yang sangat mengejutkan serta memberikan kesan mendalam buat dirinya.

Rahman Husin berkata, dakwaan bahawa Muhaini tidak bersedia mengikuti kejohanan triathlon, Ironman Langkawi Malaysia adalah salah sebaliknya bekas isterinya itu sudah aktif dalam sukan sejak tiga tahun lalu.

“Arwah memang kerap menyertai triathlon sejak beberapa tahun lalu. Namun bagi kejohanan Ironman, saya tidak tahu adakah ini penyertaannya yang pertama atau sebaliknya.

“Sepanjang tempoh aktif menyertai triathlon, dia sering menjalani latihan dan tidak berdepan masalah kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, di sini, hari ini.

Tanpa mendedahkan sudah berapa lama berpisah, Rahman menyatakan Muhaini mempunyai peribadi yang sangat baik terutamanya menjaga hubungan dengan semua orang dikenalinya.

Katanya, meskipun sudah berpisah, arwah tetap mudah untuk berhubung bagi berbincang pelbagai perkara terutama mengenai anak, Mateen Malik yang berusia tujuh tahun.

“Kami kerap berhubung dan kali terakhir saya berhubung dengannya pada Jumaat lalu. Apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu, saya panik dan terkejut.

“Bagi saya, arwah adalah seorang yang baik hati, ibu yang baik, selalu mengutamakan anak serta keluarga dan tidak permah ragu-ragu untuk membantu rakan-rakan.

“Saya sudah memaklumkan mengenai pemergian arwah kepada anak dan dia memahami bahawa ibunya sudah tiada,” katanya.

Terdahulu, jenazah Allahyarhamah Muhaini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, di sini hari ini.

Lebih 100 orang terdiri daripada rakan-rakan, penduduk setempat dan ahli keluarga hadir ke tanah perkuburan sebelum selesai urusan pengebumian kira-kira pukul 2.30 petang.

Turut hadir sama Datin Nina Sabrina Ismail Sabri bersama suami, Datuk Jovian Mandagie serta beberapa selebriti tanah air termasuk pelakon dan pengarah Ahmad Idham.

Semalam, Kosmo! melaporkan seorang peserta wanita kejohanan triathlon, Ironman Langkawi disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

Allahyarhamah Muhaini yang lebih dikenali sebagai Mui, meninggal dunia selepas ditidurkan bagi menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU), berikutan mengalami masalah kesihatan ketika melakukan disiplin renang di Pantai Kok, kelmarin.

Untuk rekod, Allahyarhamah yang juga pengasas bersama platform penyediaan perkhidmatan penjagaan bayi, Kiddocare Sdn. Bhd. merupakan anak perempuan Datuk Dr . Mahmud Mohd. Nor dan Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI