fbpx

Berat badan Badrul Muhayat naik lepas kahwin lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKON Badrul Muhayat mendedahkan berat badannya naik mendadak selepas mendirikan rumah tangga kali ketiga dengan isteri baharu, Norhayati Zulkaply.

PETALING JAYA – Pelakon Badrul Muhayat mendedahkan berat badannya naik mendadak sejak mendirikan rumah tangga enam bulan lalu kerana dijaga penuh rasa cinta isteri tersayang, Norhayati Zulkaply.

Badrul atau nama sebenarnya, Badrul Muhayat Ahmad Jailani berkata, banyak perubahan positif dilalui selepas mengambil keputusan menamatkan zaman duda selama 13 tahun sebaik bertemu suri hatinya itu.

“Saya duda dah lebih sedekad. Apabila kini ada isteri kehidupan kita lebih lancar, makanan terhidang dan pakaian pun tersedia dengan elok.

“Kalau nak tahu sebelum ni saya memang kurus sangat tapi selepas kahwin berat badan saya terus naik yang menunjukkan makan minum terjaga.

“Kalau dulu masa bujang saya sendiri, setiap minggu adik saya datang jenguk, malah ibu pun selalu telefon nak pastikan saya okey,” katanya selepas pratonton filem Cerana Biduk Bu Merah, baru-baru ini.

Menurut Badrul yang membawakan watak antagonis dalam filem seram itu, isterinya kini menjadi teman baik selain sebagai rakan perniagaan untuk satu produk kopi.

Malah dedah aktor berusia 55 tahun itu, detik perkenalan mereka juga bermula dengan kopi tersebut selepas dia dipertemukan dengan Norhayati selaku pengedar minuman berkenaan.

“Sebenarnya saya kenal isteri saya pun pasal kopi. Waktu itu jiran saya syorkan jenama ini ketika saya sedang menjalani penggambaran drama untuk TV3.

“Saya terus suka aroma dan rasanya. Kebetulan isteri saya merupakan pengedar produk itu. Dari situ kami berkawan seterusnya mengambil keputusan bernikah selepas empat bulan kenal,” ujarnya.

Mengakui masih dalam fasa bulan madu, bapa kepada dua anak itu memaklumkan terpaksa menganjakkan tarikh resepsi ke hujung tahun berikutan kesibukan mereka.

“Kami memang nak buat kenduri tetapi kebelakangan ini saya sibuk dengan penggambaran, manakala isteri pula menguruskan perniagaan.

“Jadi tarikh untuk majlis resepsi masih dalam perbincangan sebab asalnya September lalu. Insya-Allah mungkin Disember nanti,” katanya.

Sebelum mendirikan rumah tangga dengan Norhayati, 50, pada 18 April lalu, Badrul pernah melalui dua perkahwinan namun jodohnya tidak berpanjangan.

Hasil perkahwinan lalu, aktor tersebut dikurniakan dua cahaya mata, Nur Delisha, 16 dan Badrul Hidayat, 13, yang kini tinggal dengan bekas isterinya.

Sementara itu, mengenai Cerana Biduk Bu Merah yang bakal ditayangkan 12 Oktober ini, Badrul berharap watak antagonis dibawakan tidak membuatkan penonton benci kepadanya.

“Dalam filem yang turut dibintangi Fasha Sandha, Pekin Ibrahim dan Wan Hanafi Su ini saya jadi penjahat iaitu terbabit dalam sindiket ‘menjual’ wanita.

“Kalau sampai penonton marah dan benci watak itu tidak mengapa. Itu bermakna tanggungjawab saya dah dilunaskan, cuma jangan benci saya,” ulasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI