JOHOR BAHRU – Anak sulung kepada pelumba CKJ Racing Team, Izzat Zaidi Md Salehan yang cedera parah akibat kemalangan pada sesi ‘Super-Pole’ perlumbaan Cub Prix Malaysia di Iskandar Puteri, Sabtu lalu, merayu supaya bapanya itu bangun dari ‘tidur’.
Perasaan meruntum jiwa itu dikongsikan isteri Izzat, Elysha Norizal, ketika ditemui di pekarangan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.
“Anak-anak berada jauh di Selangor. Kami ada dua orang anak yang sulung 2 tahun 9 bulan dan kedua 6 bulan.
“Anak sulung selalu tanya keadaan daddy dia dan hantar pesanan suara ‘daddy bangun’,” katanya.
Menurut Elysha, suaminya, Izzat, 27, terpaksa menjalani pembedahan ekoran terlibat dalam kemalangan pada perlumbaan itu dan mengalami patah tulang rusuk kiri dan pendarahan di bahagian paru-paru.
Katanya, keadaan Izzat masih sama usai pembedahan kira-kira 4 pagi semalam masih lagi bergantung 100 peratus mesin bantuan pernafasan.
“Setakat ini, keadaan Izzat masih tidak menunjukkan sebarang perubahan, keadaannya masih kritikal dan bergantung 100 peratus pada alat bantuan pernafasan.
“Doktor ada memberitahu ingin bertemu keluarga, kami sekeluarga harap ada khabar baik mengenai keadaan suami yang dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Saya juga berharap agar semua pihak dapat mendoakan kesembuhan buat suami saya,” katanya kepada pemberita di sini.
Sabtu lalu, Izzat Zaidi yang menggunakan jentera Yamaha sewaktu sesi Super-Pole CP150 melanggar penghadang jalan dan terbabas ke pagar keselamatan di tepi litar Iskandar Puteri. – KOSMO! ONLINE