fbpx

ADUN jangan amalkan politik dendam – Tuanku Muhriz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir memeriksa kawalan kehormatan dari Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja sempena Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban hari ini. Foto oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI/KOSMO!

SEREMBAN – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mengingatkan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini supaya tidak berbalah dan mengamalkan politik dendam yang akhirnya menyimpang daripada matlamat untuk memajukan negeri.

Tegas baginda, mandat yang diberikan sebagai wakil rakyat merupakan amanah yang perlu diterjemahkan dengan penuh tanggungjawab dan fokus perlulah diberikan kepada agenda membangunkan negeri dan mensejahterakan rakyat.

“Kewajipan yang diberikan perlu dilaksanakan dengan penuh integriti dan akauntabiliti serta mengutamakan kepentingan negeri tanpa ada agenda kepentingan mana-mana parti politik ataupun peribadi.

“Perancangan dan pelaksanaan dasar perlu disegerakan agar rakyat negeri ini terus terbela kehidupannya dalam suasana masyarakat yang harmoni dan selamat.

“Kamu perlu sensitif dengan hasrat dan pandangan rakyat yang disuarakan melalui pelbagai ruang dan platform yang telah tersedia,” menurut baginda ketika Titah Ucapan Diraja pada Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini hari ini.

Tuanku Muhriz turut mengingatkan supaya setiap ADUN agar berbahas dan berhujah secara rasional dan intelektual atas perkara yang boleh membawa kebaikan dan manfaat.

“Ketahuilah bahawa kamu sentiasa diperhati dan dinilai oleh rakyat. Oleh yang demikian, berbahas dan berhujahlah secara rasional dan intelektual atas perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan dan manfaat bersama dengan mematuhi Peraturan-Peraturan Tetap Dewan sepanjang persidangan berlangsung.

“Beta juga ingin mengingatkan ahli-ahli dewan yang mulia ini agar sentiasa menghayati, melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan,” titah baginda lagi.

Baginda dalam pada itu menyeru supaya kerajaan negeri memberikan penumpuan kepada usaha menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan dan meningkatkan pelaburan berkualiti ke negeri ini.

Menurut Tuanku Muhriz, perkara itu perlu dilaksanakan untuk Negeri Sembilan menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi sekali gus menjana peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat terutamanya golongan belia.

Terdahulu baginda bersama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berangkat tiba di pekarangan bangunan DUN Negeri Sembilan di sini kira-kira pukul 9.40 pagi.

Tuanku Muhriz kemudian berkenaan memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri dari Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) yang terdiri daripada tiga orang pegawai dan 103 orang anggota lain-lain pangkat yang diketuai Mejar Ahmad Razmee Ab. Kadir.

Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 akan berlangsung selama lima hari bermula hari ini sehingga 13 Oktober nanti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI